COVID-19

PKPIM cadang tubuh Jawatankuasa Khas Parlimen pemantauan COVID-19

13/07/2020 01:53 PM

KUALA LUMPUR, 13 Julai  -- Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mencadangkan kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen Pemantauan COVID-19 bagi menyemak, memantau, menimbang dan mencadang dasar serta langkah berkaitan pandemik itu.

Presidennya Ahmad Farhan Rosli berkata jawatankuasa itu juga wajar dianggotai Ahli Parlimen pelbagai parti bagi meneliti segala bentuk urus tadbir dan perbelanjaan kerajaan dalam fasa pemulihan COVID-19.

"Langkah ini telah dilaksanakan beberapa negara ketika berdepan pandemik itu antaranya Parlimen New Zealand yang telah menubuhkan Jawatankuasa Tindak Balas Epidemik pada Mac lepas bagi meneliti tadbir urus kerajaannya.

“Ia diketuai Ketua Pembangkang Simon Bridges berserta 11 Ahli Parlimen daripada pelbagai parti dan langkah ini juga dituruti negara seperti Norway dan Filipina,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Farhan berharap Parlimen Malaysia akan terus memainkan peranan semak imbang langkah yang diambil kerajaan dalam menangani kesan daripada COVID-19 di samping memantau segala bentuk perbelanjaan untuk pakej rangsangan ekonomi yang telah diumum baru-baru ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan