COVID-19

Sunway Lagoon dibuka semula, patuhi semua SOP KKM

04/07/2020 07:18 PM

PETALING JAYA, 4 Julai -- Selepas ditutup sejak 18 Mac susulan pandemik COVID-19, Sunway Lagoon membuka semula pintunya hari ini dengan menyediakan hadiah istimewa kepada 1,000 pengunjung pertama dan pembeli pas Quack Xpress secara dalam talian untuk kunjungan hari ini dan esok.

Penolong Pengurus Besar Sunway Lagoon M.Magendran berkata persediaan menyeluruh telah dilakukan terutama dari segi kebersihan dan keselamatan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan. 

"Sebelum pembukaan semula, para pekerja kami telah melakukan persediaaan bagi memastikan semua langkah-langkah keselamatan tersedia di Extreme Park, Water Park, Amusement Park, Scream Park dan Nickelodeon Lost Lagoon," katanya kepada pemberita semasa majlis pembukaan semula taman tema itu di sini hari ini. 

Beliau berkata semua titik sentuhan di taman tema itu juga akan sentiasa dibersihkan manakala permainan tunggangan di pusat hiburan tersebut akan dinyah cemar selepas setiap kali digunakan.

"Suhu badan pengunjung juga akan diambil dan mereka perlu mengisi borang deklarasi diri secara digital sebelum memasuki Sunway Lagoon manakala pemakaian pelitup muka adalah digalakkan," katanya. 

Magendran berkata taman tema itu, yang meliputi kawasan seluas kira-kira 35 hektar dan memiliki lebih 90 tarikan, hanya akan membenarkan kemasukan 50 peratus daripada kapasiti pengunjungnya bagi memastikan penjarakan sosial.

Seorang pengunjung, Nurul Hidayah Che Su, 27, mengakui berasa selamat untuk mengunjungi Sunway Lagoon kerana taman tema itu mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan. 

"Selepas sekian lama terkurung, saya rasa ini adalah tempat terbaik untuk membawa keluarga keluar beriadah. Lagi pun, saya sangat berpuas hati dengan SOP yang disediakan," kata pekerja swasta itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan