COVID-19

Perak terima lebih 7,000 tempahan hotel sejak pelaksanaan PKPP

04/07/2020 04:35 PM

IPOH, 4 Julai -- Sektor pelancongan di Perak menerima 7,736 tempahan hotel di seluruh negeri sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan mulai 10 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata walaupun komited menarik kehadiran pelancong, kerajaan negeri akan memastikan pengusaha pelancongan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak penularan  COVID-19.

"Secara tidak langsung, ia dapat mengembalikan keyakinan pelancong terhadap keselamatan dan kesihatan di destinasi pelancongan yang dikunjungi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke taman tema air, Lost World Of Tambun (LWOT) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Nolee Ashilin berkata pihaknya tidak dapat memberikan jumlah sasaran pelancong pada tahun ini kerana ia perlu dibuat secara realistik mengikut keadaan semasa.

Sementara itu, Pengurus Besar LWOT, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata taman tema air itu dibuka sepenuhnya kepada orang ramai bermula hari ini dengan pihak pengurusan melakukan beberapa penambahbaikan antaranya pemeriksaan kualiti air setiap dua jam, setiap hari.

"Pemeriksaan ini bagi memastikan kandungan klorin dalam air yang bertindak sebagai bahan aktif mencegah kuman berada pada tahap normal dan ini penting bagi memastikan pengunjung terutama kanak-kanak mendapat pengalaman keseronokan bercuti serta keselamatan yang lebih baik di sini," katanya.  

Katanya, harga tiket masih dikekalkan seperti sebelum ini iaitu RM110 bagi kanak-kanak dan RM117 untuk dewasa dengan waktu operasi bermula 11 pagi hingga 11 malam setiap hari kecuali Selasa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan