COVID-19

KBS komited semua jenis sukan dapat kembali dimainkan - Reezal Merican

03/07/2020 07:08 PM

SEPANG, 3 Julai  -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited dalam memastikan kesemua jenis sukan dapat kembali dimainkan berdasarkan usaha berterusan sektor itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican percaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberi pertimbangan sewajarnya.

Reezal Merican berkata keyakinan untuk memberi lebih kelonggaran kepada sektor sukan mula terbina selepas melihat kepada penurunan ketara kes jangkitan COVID-19 di negara selain disiplin rakyat dalam mematuhi SOP ditetapkan.

“Saya punya perjuangan adalah untuk melihat semua sukan yang dahulunya beraksi dengan aktif, dapat dimulakan dalam masa terdekat.

“Melihat kepada keyakinan yang datang daripada pihak MKN dan KKM dalam sektor-sektor yang lain, saya begitu optimis sektor sukan juga akan diberi pertimbangan sangat positif,” katanya.

Reezal ditemui pemberita selepas melawat Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi melihat persediaan SIC melangsungkan acara sukan permotoran dari segi tatacara pematuhan yang telah ditetapkan oleh KKM, MKN dan KBS, hari ini.

KBS dijangka membawa cadangan pembukaan sektor sukan bola sepak untuk latihan penuh berkontak dan kebenaran untuk kejohanan sukan secara berperingkat ke Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 9 Julai ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan