Jumaat, 07 Ogos 2020

9,038

Jumlah kes

15

Kes baharu

8,713

Jumlah discaj

125

Jumlah kematian
0 Kes terbaharu
SETAKAT 5 PM, 6 OGOS 2020 (Sumber KKM)
COVID-19
02/07/2020 06:56 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 2 Julai -- Thailand mencatatkan enam kes baharu COVID-19 -- semuanya melibatkan rakyat Thai yang pulang dari luar negara, dan sifar kematian sejak 24 jam yang lepas, menjadikan jumlah kes kepada 3,179 dan 58 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19, Panprapa Yongtrakul berkata, enam pesakit baharu itu termasuk empat yang pulang dari Indonesia dan masing-masing satu dari Afrika Selatan dan Sudan yang diuji positif sedang menjalani kuarantin 14 hari di fasiliti negara.

Sehingga hari ini, beliau berkata, 3,059 pesakit telah pulih dan dibenarkan pulang dari hospital manakala 62 lagi masih di wad.

Hari ini juga menandakan 38 hari berterusan tanpa jangkitan tempatan di negara ini.

Sementara itu, Thailand merancang untuk membuka semula pintunya kepada 1,000 pelancong asing setiap hari, bagi membenarkan mereka melawat lima wilayah di negara ini yang dijangka dimulakan Ogos ini.

Menteri Pelancongan dan Sukan, Phiphat Ratchakitprakarn berkata satu rancangan ‘travel bubble’ untuk pengembara santai telah dirangka.

“Persatuan Pelancongan Thai (Atta) dan Majlis Pelancongan Thailand (TCT) ditugaskan untuk merangka pakej pelancongan selama enam hingga tujuh hari di lima wilayah iaitu Chiang Mai, Koh Samui, Krabi, Phuket dan Pattaya,” katanya, memetik Bangkok Post.

Draf itu termasuk satu senarai negara-negara, dijangka siap dalam dua minggu lagi.

Kementerian Pelancongan dan Sukan akan mengendalikan satu kajian dan maklumbalas daripada pemegang taruh di lapan destinasi - Bangkok, Pattaya, Phuket, Koh Samui, Chiang Mai, Krabi, Chiang Rai dan Hatyai.

Di bawah fasa pertama perancangan ‘travel bubbles’ untuk pasaran santai, Gabenor TAT Yuthasak Supasorn berkata, ia akan dimulakan dengan kumpulan pelancong kerana ia lebih mudah untuk menguruskan laluan dan aktiviti.

Jika Thailand berjaya mengendalikan kemasukan pelancong tanpa mencetuskan jangkitan baharu dalam sebulan di bawah fasa pertama pembukaan semula, maka fasa kedua akan menyaksikan lebih banyak destinasi dan jumlah pelancong yang lebih ramai akan dibenarkan, katanya.

Di bawah fasa ketiga rancangan ‘travel bubbles’, beliau berkata Thailand akan membuka pintunya kepada semua pelancong antarabangsa bagi kedua-dua kumpulan pelancong dan pengembara individu, menggunakan standard saringan yang sama daripada kedua-dua fasa pertama itu.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan