BERITA PRU15   Anwar alu-alukan komitmen Warisan sokong pembentukan kerajaan perpaduan | DUN Tioman: Calon BN sambut baik kesediaan calon PH beri laluan | Kedah disaran beri cuti khas hari mengundi Parlimen Padang Serai | Gerakan minta ahlinya fokus PRN tahun depan - Dominic Lau | PH Pahang sokong untuk bersama BN bentuk kerajaan negeri | 
COVID-19

Semua masjid dan surau di Selangor dibuka mulai Jumaat ini

01/07/2020 11:25 AM

SHAH ALAM, 1 Julai  --  Semua masjid, surau dan Surau Kebenaran Solat Jumaat di Selangor dibuka untuk solat Jumaat dan solat fardhu bermula Jumaat ini.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan mengenai perkara itu setelah mendapat taklimat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkaitan data terkini wabak COVID-19 di negeri ini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, bagaimanapun bilangan jemaah yang boleh menunaikan solat pada satu-satu masa di masjid serta surau di Selangor masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bagi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya, jumlah jemaah yang ditetapkan bagi solat Jumaat dan solat fardhu adalah 1,000 orang, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.

“Manakala jumlah jemaah bagi semua masjid lain untuk solat Jumaat dan solat fardhu ditetapkan maksimum 500 orang, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid yang mana ia tertakluk kepada kapasiti masjid berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi Surau Kebenaran Solat Jumaat, jumlah jemaah untuk solat Jumaat dan solat fardhu ditetapkan 40 orang, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa surau itu.

Untuk surau bagi solat fardhu pula kata Mohamad Munir, jumlah jemaah yang ditetapkan 40 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa surau.

Mengenai ibadah korban sempena Aidiladha, beliau berkata, Sultan Sharafuddin bertitah supaya ia dilakukan di masjid sahaja dan mana-mana surau yang telah merancang untuk melakukan ibadah itu boleh melaksanakannya di masjid berdekatan.

Mohamad Munir berkata, segala pelaksanaan dan urusan pentadbiran berkaitan titah terbaharu Sultan Selangor akan dikeluarkan oleh JAIS serta jawatankuasa masjid dan surau berkaitan.

“Baginda turut menitahkan supaya semua jemaah mematuhi SOP yang ditetapkan khususnya berwuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing, memakai pelitup separuh muka semasa hadir ke masjid atau surau serta mengamalkan jarak sosial. Mereka yang tidak sihat dilarang untuk solat di masjid serta surau,” katanya.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan