COVID-19

Lanjutkan tempoh moratorium bagi sektor hartanah - usahawan

29/06/2020 07:36 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun -- Kerajaan disaran melanjutkan tempoh moratorium bagi sektor hartanah sehingga enam bulan lagi bagi membolehkan rakyat mampu mengurus semula komitmen kewangan atau kehidupan berkaitan, kata usahawan hartanah Datuk Seri Vincent Tiew.

Menurutnya, ini berikutan pandemik COVID-19 itu menyebabkan individu serta syarikat masih bergelut untuk menangani isu seperti kadar pengangguran tinggi.

"Pihak bank sendiri perlu menangani banyak perkara ketika ini dan ada kemungkinan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dilaksanakan sebanyak satu atau dua kali lagi bagi tahun ini.

"Pada pandangan saya, tidak mungkin pihak bank akan melanjutkan kemudahan moratorium itu untuk individu mahu pun syarikat. Jika kerajaan menyerahkan perkara itu kepada individu, ada kemungkinan besar permohonan mereka tidak akan diluluskan oleh pihak bank,” katanya pada program ‘The Nation’ Bernama TV di sini, hari ini.

Tiew berkata walaupun pakej dan insentif yang diumumkan di bawah Pelan Jana Ekonomi Negara (PENJANA) adalah positif dan menarik dari transaksi hartanah pada kos lebih rendah, namun tidak ramai yang bersedia untuk melakukan pembelian berkenaan.

Pada 25 Mac lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan langkah moratorium meliputi penangguhan pembayaran balik pinjaman, penstrukturan semula baki kad kredit dan pinjaman korporat selama enam bulan dan dianggarkan bernilai RM100 bilion susulan penularan wabak COVID-19.

Moratorium yang akan berakhir pada 30 September ini, diperkenalkan bagi meringankan bebanan dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta individu.

Dalam pada itu, Tiew juga menjangkakan pihak bank akan memperketatkan lagi syarat pinjaman untuk pemaju hartanah pada tahun ini.

Atas alasan itu, beliau berpendapat kerajaan wajar mempertimbang kemungkinan untuk membenarkan warga asing membeli hartanah tanpa sebarang sekatan kuota.

"Apa yang perlu dirisaukan jika warga asing mahu membeli keseluruhan blok (hartanah)? Aktiviti belian dan pelaburan sedemikian, termasuk pelaburan dalam hotel adalah baik bagi sektor perhotelan dan pelancongan kerana turut mewujudkan pekerjaan,” katanya.

Beliau turut menyarankan hartanah tidak terjual seperti lot bumiputera dibenarkan untuk pembelian bukan bumiputera berasaskan persetujuan bersama selain turut dibeli oleh pembeli antarabangsa.

Menurutnya, selain dapat mengurangkan unit-unit hartanah tidak terjual dalam segmen komersial mahu pun kediaman, usaha ini juga dapat melonjakkan semula sektor hartanah.

“Kerajaan boleh menetapkan garis panduan berkaitan jika mereka mahu pelabur menumpukan kawasan Lembah Klang atau kawasan tertentu bagi memastikan pertumbuhan yang sewajarnya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan