Isnin, 03 Ogos 2020

9,001

Jumlah kes

2

Kes baharu

8,668

Jumlah discaj

125

Jumlah kematian
0 Kes terbaharu
SETAKAT 5 PM, 3 OGOS 2020 (Sumber KKM)
16/06/2020 12:14 PM

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 16 Jun  -- Kira-kira 500 penjaja dan peniaga Pasar Malam Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) memilih menangguhkan dahulu pembukaan semula perniagaan mereka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) susulan prosedur operasi standard (SOP) yang terlalu ketat. 

Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong TAR, Azkhalim Suradi berkata meskipun mereka sudah dibenarkan beroperasi semula bermula semalam, pihaknya berpendapat SOP itu perlu dikaji semula kerana tidak munasabah untuk dilaksanakan ke atas pasar malam.

"Berdasarkan SOP, selain jarak sosial sejauh 1.5 meter antara gerai-gerai berukuran lapan meter persegi, pengunjung juga dilarang membawa kanak-kanak bawah umur 13 tahun dan warga emas berumur 60 tahun ke atas tidak digalakkan berkunjung ke pasar malam. 

"Selain itu, kebanyakan pasar malam tidak sesuai untuk dipagarkan kerana keluasan yang terhad. Jika jarak sosial dipratikkan sebahagian besar penjaja dan peniaga tidak dapat berniaga kerana bilangan gerai yang terhad," katanya kepada Bernama. 

Katanya para penjaja dan peniaga pasar malam juga mungkin terpaksa menanggung kerugian ekoran bilangan pengunjung pada satu-satu masa dihadkan. 

"Sebagai penganjur pasar malam, kami turut menyedari penjaja dan peniaga hilang sumber pendapatan akibat PKP dan wabak COVID-19, namun dengan SOP sedemikian, kami rela menangguhkan dahulu operasi pasar kami.

"Kami sekarang sedang meneliti dan mengkaji SOP baharu yang akan dibincangkan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara. 

"Selagi tiada SOP yang dipersetujui oleh semua persatuan dan penganjur pasar malam, selagi itulah kami tidak akan beroperasi semula," katanya. 

Pada 6 Jun lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan bersetuju membenarkan pembukaan semula pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam dan bazaria di seluruh Wilayah Persekutuan bermula 15 Jun ini namun tertakluk kepada SOP yang ketat.

Ismai Sabri berkata SOP ini termasuk waktu pembukaan yang dihadkan, iaitu bagi pasar pagi dan pasar terbuka bermula 6 pagi hingga 11 pagi; pasar malam (4 petang - 10 malam) dan bazaria (5 petang - 11 malam).

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan ketika dihubungi Bernama mengesahkan DBKL sedang meneliti SOP baharu bagi pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam dan bazaria sepanjang tempoh PKPP. 

"Setakat ini mereka dibenarkan beroperasi mulai Isnin namun akan dilaksanakan secara berperingkat," katanya.  

-- BERNAMA 

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan