COVID-19

COVID-19: Senarai berita palsu tular 11 pagi, 15 Jun - KKMM

15/06/2020 05:26 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun  -- Berikut adalah senarai terkini penafian berita tular dalam media sosial oleh agensi yang bertanggungjawab melalui kenyataan media Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini.

 

1. KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) menafikan dakwaan bahawa empat pelajar dari Mesir yang positif COVID-19 dibenarkan pulang ke negeri asal mereka, Kelantan dan sedang dirawat di hospital di negeri itu. Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan menjelaskan pelajar dari luar yang dibawa pulang ke negara ini perlu menjalani ujian swab dan jika didapati positif akan dimasukkan ke wad dan diasingkan di pusat kuarantin di Melaka. Beliau menambah pelajar hanya dibenarkan pulang ke kampung jika ujian swab didapati negatif.

 

2. Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menafikan dakwaan bahawa seorang kanak-kanak di Kampung Huma, Padang Hang positif COVID-19 yang dijangkiti daripada saudara yang pulang ke kampung dari Negeri Sembilan seperti yang tular di media sosial. JKN Kedah menjelaskan bahawa sebenarnya seorang pelajar tahfiz dari Negeri Sembilan yang pulang melawat neneknya di Alor Janggus, Alor Setar telah didapati positif COVID-19 dan kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Pejabat Kesihatan Daerah telah memberi arahan kepada kontak rapat keluarga dan saudara mara yang telah dikenal pasti untuk menjalani kuarantin di rumah sehingga keputusan ujian swab COVID-19 diperoleh.

 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan