BERITA COVID–19   PKPD di Pos Betau, Pahang mulai rabu ini - MKN | Kerajaan wajar tambah jumlah bantuan khas COVID - senator | COVID: 5,434 kes hari ini, kes harian kekal trend penurunan - KP Kesihatan | KKM cadang bersemuka dengan kumpulan antivaksin | COVID: 93.8 peratus populasi dewasa Malaysia kini lengkap divaksin | 
COVID-19

KDN kenal pasti 37 titik pendaratan PATI di Sabah

14/06/2020 04:46 PM

KOTA KINABALU, 14 Jun -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengenal pasti sebanyak 37 titik pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah membabitkan 10 daerah di negeri ini, kata Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, titik pendaratan PATI itu dikenal pasti dalam Op Benteng COVID-19 yang diaktifkan di Sabah pada 21 Mac lepas.

Kesemua titik pendaratan itu membabitkan 11 kawasan di Sandakan; Lahad Datu (lima); masing-masing empat kawasan di Tawau, Kudat dan Beluran; Kunak (tiga); dua kawasan di Kota Marudu dan Kinabatangan; serta satu kawasan di Semporna dan Pitas.

“Operasi berkenaan dilaksanakan secara bersepadu dalam 'National Task Force' pada April lepas bersama agensi lain diketuai Panglima Angkatan Tentera Malaysia, yang bertujuan menyekat kemasukan PATI dengan memperkukuh kawalan sempadan negara bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.

"Kawalan sempadan ini dilakukan di dua tempat iaitu di sempadan daratan - lorong tikus dan lokasi-lokasi lain yang menjadi tempat pendaratan PATI," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, 14 projek pembangunan fizikal di Sabah yang juga projek kategori sambungan daripada Pelan Pusingan terdahulu dengan kos RM1 bilion dan kesemua projek terbabit dalam pelbagai fasa pembinaan.

Beliau berkata, ini adalah selari dengan inisiatif KDN yang memberi fokus kepada kerja-kerja naiktaraf, ubah suai dan pembaikan premis serta fasiliti sedia ada, dan menurutnya, RM12,996,570 diperuntukkan bagi kerja-kerja naik taraf dan pembaikan fasiliti Polis Diraja Malaysia di Sabah merangkumi pembaikan kuarters, pejabat serta stor.

Pada April lepas, Hamzah berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meluluskan peruntukan RM150 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin bagi kerja naik taraf semua agensi di bawah KDN, dan daripada jumlah itu, RM31,081,499 diperuntukkan kepada agensi di Sabah, katanya.

Mengenai lawatan kerja tiga hari ke Sabah, Hamzah memulakan lawatannya pada Jumaat dengan melawat tapak projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu sebelum ke Tawau bagi meninjau pengoperasian Op Benteng dan sempadan Malaysia-Indonesia di Sungai Melayu, Wallace Bay di Pulau Sebatik dan Burs Point di Pulau Tamba, Kalabakan.

Pada hari ini, Hamzah diberikan taklimat mengenai pengoperasain PTS dan isu-isu berkaitan imigresen di Sabah sebelum mengakhiri lawatan kerjanya dengan meninjau tapak projek Balai Polis dan Perumahan Inanam.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan