BERITA COVID–19   Teruja dapat melancong ke P.Pinang selepas rentas negeri dibenarkan | Vaksinasi populasi dewasa negara capai 91.5 peratus | COVID-19: Satu kes jangkitan tempatan, 19 kes import dilaporkan di China | RMKe-12 perlu galak bentuk baharu pekerjaan, firma inovatif, pemula niaga bagi graduan -- Ahli Ekonomi | Bukan warga Sarawak masih perlu mohon EnterSarawak - JPBN | 
COVID-19

Sektor pelancongan perlu anjakan paradigma - UMK

09/06/2020 12:48 PM

KOTA BHARU, 9 Jun -- Pemain industri pelancongan perlu menyesuaikan diri dengan normal baharu aktiviti harian dalam usaha memulihkan semula sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, demikian menurut ahli akademik.

Dekan Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Dr Khairil Wahidin Awang berkata kerjasama rapat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Malaysia Inbound Tourism Association (MITA), agensi-agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan serta pemain industri pelancongan amat penting bagi mencari peluang membangunkan semula dan merancakkan industri pelancongan negara.

Katanya setiap pemegang taruh perlu berganding bahu berusaha mengadaptasi normal baharu termasuk memahami perubahan dalam pemikiran pelancong antarabangsa mahupun tempatan. 

“Antara langkah yang perlu diambil bagi memulih dan merancakkan semula sektor ini adalah dengan memfokuskan semula pelancongan domestik kerana pelancong tempatan sudah memahami prosedur operasi standard (SOP) mengenai pencegahan penularan COVID-19 seperti saranan Kementerian Kesihatan (KKM) serta mematuhi SOP ini semasa melancong di serata negara.

“Dengan adanya kefahaman mengenai SOP yang ditetapkan sekurang-kurangnya keberangkalian untuk penularan COVID-19 berlaku dalam kalangan pelancong domestik rendah jika mereka mengamalkan dan mematuhi kesemua SOP,” katanya ketika ditemui Bernama di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini, hari ini. 

Khairil Wahidin  berkata pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyyidin Yassin mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok (10 Jun) sehingga 31 Ogos, yang antara lain membenarkan sektor pelancongan kembali beroperasi termasuk aktiviti rentas negeri dibenarkan adalah satu tindakan produktif.

Pengumuman itu membawa perkembangan positif bagi sektor pelancongan untuk bangkit semula selepas berbulan mengalami kemerosotan disebabkan impak pandemik COVID-19.

Selain memfokuskan pelancongan domestik, Khairil Wahidin berkata konsep ‘travel bubbles’ untuk pelancongan wilayah yakni rentas negara juga dilihat mampu untuk menyuntik semula impak positif kepada industri pelancongan. 

Konsep berkenaan telah mula diamalkan oleh beberapa negara Baltik di Eropah Timur, Greece, dan Cyprus. 

Katanya melalui konsep ini, kerajaan mungkin dapat membenarkan kemasukan pelancong asing dari negara yang kurang berisiko penularan COVID-19 serta negara yang mengamalkan SOP berkesan.

“Sekurang-kurangnya dengan adanya kemasukan pelancong asing daripada negara kurang berisiko dengan mengadaptasi normal baharu seperti penjarakan sosial, menggunakan penutup hidung dan mulut, serta menjaga kebersihan diri mampu mengembangkan ekonomi semasa pelancongan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan