COVID-19

PENJANA: Dana RM9 bln mampu tiup nafas baharu sektor pekerjaan negara

06/06/2020 06:26 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jun -- Langkah kerajaan menyediakan dana RM9 billion untuk mengurangkan kadar pengangguran melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dilihat dapat meniup nafas baharu ke dalam sektor pekerjaan negara yang terjejas oleh penularan pandemik COVID-19.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan berkata dana itu boleh dimanfaatkan oleh majikan untuk menyediakan latihan dan latihan semula bagi melengkapkan pekerja dengan kemahiran teknologi maklumat dalam menghadapi normal baharu pekerjaan berdasarkan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

“Sekarang ini banyak yang bekerja melalui dalam talian, bekerja dari rumah,  jadi dengan kemahiran yang ada ini akan melatih mereka agar lebih efisien dan cara untuk tingkatkan lagi kapasiti majikan dan pekerja untuk berbuat demikian juga perlu diambil kira.

“Pelbagai isu turut timbul contohnya mengenai keselamatan siber dan ramai antara kita tidak mahir untuk menggunakan teknologi berkenaan, misalnya bagaimana nak 'setup’ aplikasi Skype, Zoom dan persidangan video. Oleh itu, kemahiran dalam mengendalikannya sangat penting,” katanya kepada Bernama, hari ini. 

Sehubungan itu, majikan perlu merebut peluang daripada agihan dana tersebut yang akan memanfaatkan tiga juta pekerja, dengan menyediakan latihan kemahiran yang berkesan supaya pekerja dapat menyesuaikan diri dalam industri baharu, sekali gus memperkasa kehidupan mereka, katanya.

Jabatan Perangkaan Malaysia pada 14 Mei lepas mengunjurkan kadar pengangguran meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 orang penganggur untuk keseluruhan tahun ini, selain ekonomi negara dijangka menguncup pada suku kedua tahun ini berikutan usaha pembendungan COVID-19 yang masih dijalankan.

Dalam pada itu, beliau berkata inisiatif kerajaan memperkenalkan geran sehingga RM50 juta untuk platform ekonomi gig akan mengurangkan sedikit keresahan belia, khususnya yang berisiko untuk hilang pekerjaan, graduan baharu serta usahawan muda yang menceburi industri kecil dan sederhana (IKS).

“Ini bermakna kerajaan memberi keutamaan kepada keperluan pekerja gig ekonomi contohnya penghantar makanan untuk dilindungi di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, seterusnya mempunyai simpanan pada hari tua,” katanya.

Mengulas mengenai lanjutan program subsidi upah kepada tiga bulan lagi, beliau berkata usaha itu bertepatan bagi mengurangkan tekanan aliran tunai kepada perusahaan kecil dan sederhana.

“Apa yang majikan perlukan pada masa ini ialah talian hayat untuk aliran tunai, kita menghadapi banyak masalah aliran tunai kerana hasil berkurangan tetapi ada banyak kos tetap terutama aspek gaji dan sewaan bangunan, itu sebahagian daripada kos perniagaan,” katanya.

Namun, katanya, tempoh lanjutan itu perlu dipanjangkan kepada enam ke sembilan bulan lagi dengan jumlah yang lebih besar seperti mana yang dilakukan Singapura memandangkan kesan COVID-19 mungkin dirasai lebih lama.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor menyifatkan dana yang disalurkan menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam membantu pekerja dan majikan, bagaimanapun cara pelaksanaan dan pengagihan dana tersebut perlu dibuat dengan lebih telus.

“Pengumuman pakej itu menunjukkan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) memegang pada prinsip yang dijanjikan iaitu tiada seorang pun yang akan terkecuali daripada menerima pakej yang diberikan kerajaan, tetapi dari segi pemantauan dan pelaksanaannya itu perlu dikaji.

“Kita bimbang sekiranya sama seperti pakej rangsangan sebelum ini, ia mungkin gagal memastikan pekerja dilindungi,”katanya. 

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai pula berkata suntikan dana yang disalurkan akan dapat mewujudkan kesan pengganda kepada ekonomi dalam bentuk perbelanjaan.

Jelasnya, kerajaan cuba memulihkan semula ekonomi negara dengan membantu kumpulan yang hilang pekerjaan dan majikan yang mempunyai kakitangan kurang daripada 200 pekerja.

Beliau berkata bagi jangka masa panjang, kerajaan perlu merangka program yang lebih kukuh  khususnya kepada kumpulan peniaga makro dan PKS untuk beralih kepada teknologi digital ekonomi, dan ‘Internet of Thing’  selaras dengan IR 4.0.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan PENJANA bertemakan ‘Bersama Menjana Ekonomi’, merangkumi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion yang memberi tumpuan kepada memperkasa rakyat, merancakkan perniagaan dan merangsang ekonomi dengan RM10 bilion merupakan suntikan fiskal langsung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan