COVID-19

COVID-19: Henti amalan berbisik, di Pasar Bisik Kuala Muda - Reezal Merican

04/06/2020 01:30 AM

KEPALA BATAS, 3 Jun  -- Para nelayan di Pasar Bisik Kuala Muda di Penaga di sini, dinasihatkan supaya menghentikan amalan berbisik, iaitu tradisi yang digunakan untuk menentukan harga jual beli hasil tangkapan laut segar antara nelayan dan pelanggan, bagi membendung penularan wabak COVID-19. 

Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, walaupun amalan berbisik adalah satu keunikan di pasar itu dalam urusan tawar menawar, namun dalam keadaan sekarang mereka harus mementingkan soal kesihatan dan keselamatan terlebih dahulu.

“Mereka perlu menyesuaikan diri dengan normal baharu ini dan lakukan perubahan dari segi mekanisme dan modus operandi. Amalan berbisik memang tidak boleh...macam mana nak bisik dari jarak satu meter.

"Berikutan itu, para nelayan perlu mempamerkan harga hasil tangkapan dan tidak dibenarkan untuk berbisik bagi menjual hasil laut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pasar itu, di sini hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) pada Isnin, mengarahkan Pasar Bisik Kuala Muda ditutup selama tujuh hari, kerana didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Reezal Merican yang juga Menteri Belia dan Sukan, tidak menafikan penutupan itu mungkin akan menjejaskan punca pendapatan hampir 400 bot dari tiga unit nelayan setempat, iaitu Kuala Muda, Bakau Tua dan Pulau Mertajam.

Bagaimanapun, beliau berharap SOP PKPB seperti jarakan sosial, pengambilan bacaan suhu badan, dan merekod kehadiran pengunjung dapat dipatuhi sepenuhnya, oleh semua pihak dalam usaha memastikan rantaian penularan COVID-19 dapat diputuskan.

“Hasil tinjauan mendapati pematuhan SOP PKPB di pasar ini sudah ada, namun masih ada ruang yang perlu diperbaiki sebelum dibenarkan untuk beroperasi semula.

“Dalam tempoh seminggu ini sama ada (Pasar Bisik) boleh buka semula atau tidak, ini bergantung sepenuhnya kepada kepuasan hati pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), terhadap pematuhan SOP,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan