BERITA TERGEMPAR   Former inspector general of police (IGP) Tun Mohammed Hanif Omar died at 2.15 am today - Son | Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tun Mohammed Hanif Omar meninggal dunia pada 2.15 pagi tadi - Anak | 
COVID-19

Seorang kakitangan Wisma Putra positif COVID-19 - Hishammuddin

30/05/2020 07:38 PM

PUTRAJAYA, 30 Mei  -- Seorang kakitangan Kementerian Luar disahkan positif COVID-19 semalam, kata Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata ia adalah kes pertama di kementerian itu yang dikesan menerusi satu saringan kesihatan yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) di Wisma Putra.

"Sebelum menjalani saringan ini, beliau tidak menunjukkan sebarang gejala atau simptom COVID-19 seperti demam, selesema, batuk atau sakit tekak. Beliau kini telah ditempatkan di Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan selanjutnya," kata Hishammuddin.

Hishammuddin berkata Wisma Putra telah mengenal pasti sejumlah kakitangan daripada beberapa bahagian di kementerian itu termasuk pejabat menteri yang mempunyai kontak rapat dengan individu terbabit.

Katanya kesemua kontak rapat itu telah diarah menjalani saringan kesihatan yang dikendalikan KKM hari ini.

"Selain itu, mereka juga akan menjalani kuarantin wajib di rumah selama 14 hari bermula hari ini," katanya.

Hishammuddin berkata susulan pengesanan kes pertama itu, kerja-kerja nyah kuman di premis Wisma Putra dengan kerjasama KKM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan dilakukan serta-merta.

Katanya semua tindakan yang diambil Wisma Putra adalah berpandukan prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan Penularan Pandemik COVID-19 seperti yang ditetapkan KKM.

"Wisma Putra juga telah dan akan terus memastikan penjarakan sosial sentiasa dipatuhi dan penjagaan kesihatan yang ketat dilaksanakan pada setiap masa," katanya.

Hishammuddin turut mengingatkan semua kakitangan dan pelanggan kementerian agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan KKM termasuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan dengan memakai pelitup muka, membasuh tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman, memastikan penjarakan sosial serta sentiasa memeriksa suhu badan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan