COVID-19

Rakyat Malaysa, peserta MM2H yang terkandas di Thailand gembira, lega dapat pulang

26/05/2020 05:12 PM

BANGKOK, 26 Mei -- Suasana ceria mewarnai Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok apabila sekumpulan rakyat Malaysia serta pasangan masing-masing yang merupakan rakyat asing dan peserta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bakal berlepas pulang ke tanah air untuk bertemu semula keluarga dan rakan mereka. 

Sejumlah 155 penumpang termasuk dua bayi yang terkandas di Thailand susulan pandemik COVID-19 akan menaiki penerbangan sewa khas syarikat penerbangan Thai Smile Airways untuk pulang ke tanah air.

Juruterbang pesawat peribadi, Thomas Brown, 63, terkandas di Bangkok sejak kerajaan Thailand mengumumkan larangan ke atas semua penerbangan antarabangsa bagi mengekang penularan wabak COVID-19, berkata beliau rindukan keluarganya di Malaysia.

Rakyat Kanada itu, yang juga peserta MM2H, melakukan perjalanan ke Bangkok untuk satu lawatan kerja pada 10 Mac, bagaimanapun beliau terkandas di negara itu selepas Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan selain larangan ke atas penerbangan antarabangsa di Thailand.

“Sejak tiga bulan lepas, saya menginap di sebuah hotel di Bangkok. Rutin harian saya ialah melakukan sidang video dengan pasangan saya di Malaysia, melakukan sedikit senaman untuk kekal sihat dan selamat supaya saya boleh kembali kepada pasangan saya.

 “Malaysia adalah rumah saya. Saya rindukan rumah saya dan keluarga saya di Malaysia… Saya tidak sabar untuk bertemu semula dengan keluarga saya,” katanya kepada Bernama.

Brown melahirkan penghargaan beliau kepada Kedutaan Malaysia di Bangkok, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan serta Jabatan Imigresen kerana memudahkan urusan kepulangannya ke Malaysia.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata peserta MM2H yang terkandas di luar negara telah dibenarkan pulang ke Malaysia sejak 14 Mei susulan langkah melonggarkan sekatan pergerakan.

Sementara itu, Gan Shiaw Mei, 32, berasa teruja kerana beliau bakal pulang ke tanah air buat pertama kali dengan bayi perempuannya yang berusia tiga bulan.

Ditemani ibu dan suami, jurutera itu yang berpangkalan di Nakhon Ratchasima (Korat) mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air buat selamanya.

“Kami gembira kerana akhirnya kami boleh pulang ke tanah air.

“Perkara pertama yang akan saya lakukan selepas menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari ialah menjamah makanan kegemaran saya di Malaysia iaitu nasi lemak dan mi hokkien,” katanya.

Sementara itu, seorang penuntut Malaysia di Sekolah Antarabangsa British Phuket (BISP) yang dikenali sebagai Sam, 18, dari Kuala Lumpur dan beberapa rakannya menempuh perjalanan yang memenatkan untuk kembali ke tanah air.

Kumpulan itu yang terdiri daripada 10 penuntut BISP telah melakukan perjalanan dari Phuket pada 4.30 pagi (waktu tempatan) semalam dan tiba di Bangkok pada 8 malam.

Mereka bakal meneruskan perjalanan dengan menaiki penerbangan sewa khas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.  

“Meskipun ia adalah satu perjalanan yang jauh, kami berasa positif kerana kami akan pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.

Thailand telah melarang pesawat penumpang antarabangsa memasuki negara itu mulai 4 April dan melanjutkannya sehingga akhir Jun dalam usaha mengekang pandemik COVID-19.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan