COVID-19

Sekatan jalan raya diperketat, tiada percubaan rentas negeri - Bukit Aman

25/05/2020 11:21 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mei  -- Memasuki hari kedua Syawal, tiada lagi percubaan oleh pengguna lebuh raya untuk melakukan pergerakan rentas negeri.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata kebanyakan orang awam yang menggunakan lebuh raya hari ini hanya bagi pergerakan dalam negeri.

"Kebanyakan kenderaan bergerak di dalam negeri dan daerah yang sama sahaja iaitu di bawah kawalan. Walaupun tiada percubaan rentas negeri tetapi sekatan jalan raya diperketatkan juga," katanya kepada Bernama.

Tinjauan Bernama di plaza tol utama ibu negara iaitu Plaza Tol Sungai Besi, Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Gombak mendapati ketiga-tiganya dalam keadaan lancar selain tidak terlalu sibuk.

Azisman berkata pergerakan di ketiga-tiga plaza tol berjalan lancar termasuk yang diadakan sekatan jalan raya.

"Alhamdulillah, aliran trafik di ketiga-tiga sekatan jalan raya di plaza tol tersebut berjalan lancar, tiada kesesakan dan jumlah kenderaan sederhana," katanya.

Selain itu, tinjauan Bernama mendapati pihak berkuasa turut menjalankan sekatan jalan raya di laluan masuk ke Kuala Lumpur dari arah utara dan pantai timur iaitu di Plaza Tol Jalan Duta dan Gombak.

Difahamkan polis berbuat demikian bagi mengenal pasti mereka yang mungkin telah melepasi sekatan jalan raya sebelum ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan