COVID-19

Bekas pesakit COVID-19 elak kunjungan sepanjang Syawal

25/05/2020 07:35 PM

Oleh Norazurra Aziz

KUALA LUMPUR, 25 Mei  -- Walaupun kelonggaran diberikan kepada umat Islam untuk menziarahi sanak saudara pada hari pertama sambutan Aidilfitri semalam, namun tidak bagi bekas pesakit Covid-19, Reza Huzairi Zainuddin yang membuat keputusan tidak menerima sebarang kunjungan sepanjang Syawal kali ini.

Walaupun disahkan bebas daripada wabak itu kini, namun beliau mengambil langkah berjaga-jaga yang amat ketat demi keselamatan diri, keluarga dan sanak saudara yang ingin menziarahinya.

"Untuk kunjungan tidak ada terutama saya adalah bekas pesakit Covid-19, masih ada rasa takut bila berada di tempat yang sesak, ramai orang, jadi saya tidak benarkan mana-mana kunjungan, walaupun abang saya sekalipun yang tinggal berdekatan," katanya.

Berkongsi pengalaman menyambut Syawal dalam norma baharu, Naib Presiden Kanan Modal Insan Kumpulan UDA Holdings Berhad ini berkata, 'kunjungan online’ (dalam talian) menjadi pilihan yang ada kini untuk merapatkan siraturahim.

Pada awal pagi semalam, beliau menghubungi ibunya untuk mengucapkan Selamat Hari Raya dan "bermaaf-maafan" menerusi panggilan video, selain menjadi imam ketika menunaikan solat Hari Raya di rumahnya.

Bagi Reza Huzairi, 41, yang dihubungi Bernama TV melalui perkhidmatan skype hari ini, berpendapat tahap kepatuhan orang ramai semasa mengunjungi rumah sanak saudara pada Syawal pertama semalam, masih rendah.

Beliau bimbang ini akan mewujudkan ‘kluster raya’ memandangkan Aidilfitri disambut selama sebulan.

"Berkemungkinan mereka beranggapan tak pernah kena dan takkan kena virus ni, nasihat saya yang pernah terkena wabak ni, berjaga-jagalah kita masih belum bebas daripada wabak ni, amalkan normal baharu dengan sentiasa jaga jarak sosial, mengelak berada dalam kesesakan orang ramai, pemakaian pelitup muka dan sentiasa menjaga kebersihan diri," katanya.

Reza, yang disahkan positif Covid-19, telah dirawat di wad isolasi Hospital Sungai Buloh selama 11 hari sebelum dibenarkan keluar pada 14 Mac lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan