COVID-19

COVID-19: Tambahan 548 kes di Singapura, jumlah keseluruhan 31,616

24/05/2020 04:50 PM

SINGAPURA, 24 Mei  -- Singapura dalam pengesahan awal memaklumkan tambahan 548 kes COVID-19 setakat tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak itu sebanyak 31,616.

Pesakit yang pulih setakat Sabtu adalah seramai 13,882 orang.

Data berhubung kes baharu itu menunjukkan hanya tiga pesakit adalah warga Singapura atau penduduk tetap manakala majoriti terdiri daripada pekerja asing di asrama, menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam kenyataan hari ini.

Kementerian itu berkata maklumat lanjut berhubung kes baharu dan perkembangan terkini akan dimaklumkan kelak.

Menerusi data penuh yang dikeluarkan lewat Sabtu, Singapura mengklasifikasikan 1,682 sebagai kes komuniti, 580 adalah kes import manakala 28,806 melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Menurut kementerian itu, jumlah kes baharu dalam komuniti meningkat kepada purata tujuh kes sehari pada minggu lepas berbanding lima kes sehari bagi minggu sebelumnya.

“Ia antaranya berikutan pengawasan dan pemeriksaan aktif warga rumah jagaan dan petugas pra-sekolah yang merekodkan banyak kes minggu lepas,” kata MOH.

Setakat Sabtu, sebanyak 711 kes disahkan sedang dirawat di hospital dengan lapan berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi manakala 23 telah meninggal dunia.

Menurut kementerian itu, sebanyak 16,452 kes mengalami gejala ringan, atau sihat secara klinikal tetapi masih positif COVID-19, diasingkan dan ditempatkan di fasiliti komuniti.

Memandangkan tiada lagi kes yang berkaitan dengan Tuas South Incineration Plant dan 234A Balestier Road untuk dalam tempoh dua inkubasi lepas, kluster itu kini ditutup.

Dua kluster baharu dikenal pasti pada Sabtu manakala kluster terbesar S11 Dormitory @ Punggol merekodkan keseluruhan 2,591 kes yang disahkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan