COVID-19

Teruja jadi imam dan baca khutbah solat sunat Aidilfitri bersama keluarga

24/05/2020 09:34 PM

PADANG BESAR, 24 Mei  -- Pengalaman kali pertama menjadi imam dan menyampaikan khutbah solat sunat Aidilfitri kepada ahli keluarga adalah merupakan kenangan manis bagi setiap ketua kelurga di negeri ini.

Jabatan Mufti Perlis, baru-baru ini, mengeluarkan panduan dan teks khutbah hari raya bagi ketua keluarga untuk melakukan solat sunat Aidilfitri di rumah bersama keluarga masing-masing.

Salah seorang ketua keluarga yang ditemui Bernama, Abdullah Aiman Amran, 34, berkata pada awal beliau rasa agak gementar apabila buat kali pertama menjadi imam dan membaca khutbah di hadapan emak, isteri, anak dan adik-beradik di Kampung Belukar, Mata Ayer, dekat sini.

“Saya mula memuat turun panduan solat sunat Aidilfitri  dan teks khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Perlis semalam dan berlatih membacanya agar tidak kekok,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Perlis banyak membantunya menunaikan solat sunat tersebut.

“Intipati khutbah yang bertajuk ‘Semangat Hari Raya: Menghadapi Cabaran Hidup Bersama Keluarga’ mengajak umat Islam agar bersabar menghadapi ujian wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini dan bersyukur kerana boleh menunaikan ibadah seperti biasa,” katanya.

Abdullah Aiman, yang juga seorang akauntan, berkata khutubah itu memberi semangat kepada beliau dan keluarganya untuk menghadapi ujian ini dan bersedia dengan norma baharu selepas ini.

Turut berkongsi pengalaman, Mohd Nor Zharif Idrus, 28, berkata walaupun adik-beradiknya yang lain tidak pulang berhari raya di kampung akibat larangan merentas negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), beliau tetap melakukan solat sunat Aidilfitri bersama ibunya di rumah.

“Mak minta saya jadi imam dan baca khutbah raya di rumah kerana solat raya tidak dilakukan di masjid...pada awalnya saya rasa agak berat namun setelah membaca garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Perlis sebenarnya ia mudah untuk dilaksanakan,” katanya.

Penjawat awam itu berkata beliau dan ibunya  Zainab Abd Manan, 67, memulakan solat sunat Aidilfitri dengan takbir raya, solat sunat dan membaca khutbah ringkas.

“Ini adalah pengalaman baharu bagi saya yang tidak pernah membaca khutbah dan hanya biasa menjadi makmum solat di belakang iman..bagi saya ia satu pengalaman yang menyeronokan apabila seorang anak dapat memenuhi permintaan emak,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, ketika dihubungi Bernama, berkata beliau melahirkan rasa syukur kerana dapat memudahkan semua pihak khususnya ketua keluarga dalam melakukan solat sunat Aidilfitri bersama keluarga di rumah masing-masing.

“Agama itu mudah tapi kadangkala tembok ekslusif telah menyukarkan untuk diamalkan di setiap peringkat. Kita harap dalam suasana sukar ini, ramai akan memahami betapa agama itu dapat diamalkan dalam semua keadaan,” katanya

Menurut Mohd Asri, beliau bersyukur kerana pihaknya sentiasa memberikan khidmat yang terbaik yang memudahkan semua pihak di setiap peringkat mendalami ilmu agama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan