COVID-19

Inisiatif pendigitalan KKMM-MDEC bantu 5,800 penjaja terkesan akibat COVID-19, PKP

23/05/2020 03:58 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei  -- Inisiatif pendigitalan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan agensinya Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk penjaja yang terkesan akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjaya membantu 5,800 orang daripada kumpulan sasar.

Menteri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, inisiatif berkenaan iaitu Ekonomi Perkongsian diperkenalkan untuk membantu penjaja yang terkesan susulan kerajaan memutuskan tiada penganjuran bazar Ramadan di seluruh negara tahun ini bagi membendung pandemik COVID-19.

Beliau berkata usaha kementerian dan MDEC itu selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu penggunaan teknologi digital dimaksimumkan bagi menjana pendapatan dalam situasi normal baharu selain memastikan jarak sosial dan kurang interaksi langsung seperti disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia dipatuhi.

“Menerusi inisiatif ini, terdapat lebih kurang 4,800 penjaja dan peniaga yang menjual makanan telah didaftarkan serta 1,000 penjaja dan peniaga yang menjual selain daripada makanan seperti pakaian, barangan kecantikan dan lain-lain telah didaftarkan menerusi beberapa platform penghantaran,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata usaha membantu kumpulan berkenaan berjalan lancar apabila KKMM dan MDEC mempunyai kerjasama strategik dengan pengendali platform terlibat termasuk Bungkusit, MyMakan, Delivereat, Foodpanda dan Helpy sekali gus memastikan penjaja dapat meneruskan perniagaan secara maya dan memastikan kelangsungan ekonomi dalam talian.

Berdasarkan maklum balas, pendapatan peniaga atau penjaja adalah berbeza-beza berdasarkan pesanan yang diterima, katanya.

Beliau berkata peniaga atau penjaja yang memperoleh lebih 30 pesanan sehari boleh meraih pendapatan RM900 sehari bergantung kepada kekerapan promosi yang dilakukan.

Sebelum Ramadan, terdapat purata 100 perniagaan menggunakan khidmat pengendali berkenaan namun jumlahnya meningkat lebih 400 peratus ketika Ramadan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, MDEC juga mempunyai rakan platform perkongsian lain yang menawarkan khidmat penghantaran dan logistik iaitu MatDespatch, Zepto Express, Mr. Speedy, Golog, Goget dan Lalamove.

“Kesemua platform ini dapat membantu penjaja dan peniaga untuk melakukan penghantaran barangan harian seperti pakaian, barangan kecantikan, dokumen serta sayur-sayuran,” katanya.

Beliau berkata peniaga, usahawan dan syarikat boleh mula meneroka pelbagai jenis perkhidmatan berasaskan Ekonomi Perkongsian atau Ekonomi Gig yang ditawarkan oleh lebih 100 platform digital tempatan dan antarabangsa di Malaysia.

Ia merangkumi penterjemahan, rekaan grafik, pengaturcaraan komputer, pengangkutan seperti e-hailing, sehingga perkhidmatan penghantaran dan kurier, katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan