COVID-19

PLUS mantapkan operasi lebuh raya untuk perjalanan musim perayaan sewaktu PKPB

23/05/2020 12:34 AM

KUALA LUMPUR, 22 Mei -- Syarikat konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memantapkan operasi lebuh raya kendaliannya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna sewaktu musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

 Pengarah Urusannya Datuk Azman Ismail dalam kenyataan hari ini PLUS berkolaborasi dengan Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT) untuk memastikan keselamatan lebuh raya dan penguatkuasaan undang-undang di beberapa plaza tol utama lebuh raya dipatuhi serta untuk bantuan kecemasan.

Jelasnya bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19, pelanggan lebuh raya dinasihatkan supaya memastikan kad Touch ‘n Go mempunyai baki yang mencukupi sebelum memasuki lebuh raya, dan PLUS turut menempatkan kira-kira 2,900 kakitangan dalam eko-sistem PLUS di lebuh raya.

“Penggunaan dron untuk membuat pemantauan trafik di lokasi strategik di lebuh raya juga dilakukan selain menutup operasi lorong tambah nilai di plaza tol untuk membendung penularan COVID-19 melalui intervensi terus dalam kalangan kakitangan dan pelanggan lebuh raya,” katanya.

Katanya pihak polis akan mengadakan sekatan jalan raya yang ketat berikutan dalam tempoh PKPB orang ramai dilarang melakukan perjalanan merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman semasa musim perayaan dan hanya perjalanan dalam negeri yang dibenarkan, dan anggota PLUSRonda juga akan mengadakan rondaan di sepanjang lebuh raya.

Azman berkata pihaknya menjangkakan kira-kira sejuta kenderaan akan menggunakan lebuh raya kendalian syarikat sepanjang Syawal tahun ini.

“Kami menyokong sepenuhnya inisiatif daripada pihak berkuasa sebagai langkah untuk membendung penularan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata semua surau di kawasan rehat dan rawat (R&R) juga masih ditutup, hanya tandas awam dan kawasan meletak kenderaan di R&R dibuka kepada orang ramai susulan pelaksanaan PKPB.

Katanya orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter PLUSTrafik, talian bebas tol PLUSLine 1800 88 0000, aplikasi PLUS Mobile, papan tanda elektronik dan laporan trafik menerusi stesen radio utama.

“Orang awam juga boleh menggunakan Aplikasi Waze atau Google Map untuk mengelakkan kesesakan di lebuh raya selain boleh berinteraksi dengan ‘PUTRI’, virtual PLUS chatbot untuk maklum balas berkaitan perkhidmatan lebuh raya menerusi laman web PLUS (www.plus.com.my), portal PLUSMiles (www.plusmiles.com.my), dan Aplikasi PLUS,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan