BERITA TERGEMPAR   Former inspector general of police (IGP) Tun Mohammed Hanif Omar died at 2.15 am today - Son | Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tun Mohammed Hanif Omar meninggal dunia pada 2.15 pagi tadi - Anak | 
COVID-19

Ramai ke pajak gadai selesaikan urusan tertangguh - MPBA

05/05/2020 06:14 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei  -- Tiada yang luar biasa tentang kunjungan ramai pelanggan ke beberapa premis pajak gadai semalam dan hari ini, dengan Persatuan Tuan Punya Pajak Gadai Malaysia (MPBA) menganggapnya sebagai rutin biasa.

Presiden persatuan itu Tan Ho Keng berkata para pelanggan berkenaan mahu menyelesaikan urusan mereka yang tertangguh setelah pajak gadai ditutup sejak 18 Mac lalu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau memberitahu Bernama para pelanggan berkenaan mengunjungi kedai pajak gadai untuk menebus barang kemas yang digadai, membuat pembayaran faedah, melanjutkan tempoh gadaian selain segelintir yang membuat pajakan.

Selepas 47 hari tidak beroperasi, katanya, premis pajak gadai kembali dibuka semalam susulan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Jumlah pelanggan nampak ramai semalam kerana mereka ikut peraturan dengan beratur mematuhi jarak sosial satu meter. Hanya dua pelanggan sahaja dibenarkan memasuki premis pada satu-satu masa berbanding sebelum ini kami benarkan 10 pelanggan masuk ke dalam premis,” katanya semasa dihubungi Bernama hari ini.

Tan memberitahu sepanjang PKPB, operasi premis pajak gadai dihadkan kepada lima jam sahaja iaitu dari 9 pagi hingga 2 petang.  

Beliau menjelaskan kebanyakan pelanggan yang mengunjungi kedai pajak gadai kerana mahu menebus barang kemas mereka.

“...Aidilfitri tidak lama lagi, jadi ramai pelanggan datang untuk tebus kerana ingin memakai barang kemas kepunyaan mereka nanti," katanya. 

Mengenai lanjutan tempoh pembayaran, beliau berkata pelanggan yang sudah mencapai tempoh matang untuk membuat pembayaran pajakan bagi tempoh 18 Mac hingga 12 Mei tidak perlu bimbang kerana lanjutan pembayaran adalah secara automatik.  

Sementara itu, tinjauan Bernama di sebuah premis pajak gadai Islam Ar-Rahnu di Gombak mendapati ramai pelanggan datang untuk melanjutkan tempoh gadaian barang kemas mereka.

Pelanggan kedai itu yang hanya mahu dikenali sebagai Sharifah, 35, memberitahu beliau tidak dapat menyelesaikan urusannya kerana waktu operasi di premis itu dipendekkan sehingga 2 petang.

“Saya ke sini untuk bayar upah simpan bagi gelang emas yang sudah tertangguh tiga bulan. Saya ingatkan (premis) buka seperti biasa tetapi sampai 2 petang sahaja,” katanya.

Di KUALA TERENGGANU, tinjauan mendapati ramai pelanggan dapat menebus barang kemas dan melanjutkan tempoh gadaian selepas membuat pengeluaran i-Lestari daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibenarkan kerajaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pekerja swasta yang hanya ingin dikenali sebagai Nurul, 32, berkata pengeluaran i-Lestari memberinya sumber kewangan yang lebih untuk membayar ansuran gadaian gelang emas yang dipajaknya beberapa bulan lepas.

“Saya membayar secara ansuran pajakan gelang itu sehingga Julai ini dan akan dapat menebusnya sebelum tamat tempoh pajakan. Jadi, pengeluaran duit KWSP (i-Lestari) itu memberi sumber yang lebih untuk membayar pajakan emas,” katanya.

Sementara itu seorang tukang paip yang hanya ingin kenali sebagai Mahmud, 44, bersyukur dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membolehkan beliau membuat urusan di kedai pajak gadai.

Bapa kepada empat anak itu berkata beliau terpaksa menggadai barang kemas milik isterinya bagi kegunaan Aidilfitri nanti.

“Sekiranya PKPB tidak dilaksanakan dan kedai pajak gadai masih ditutup, mungkin saya terpaksa meminjam wang daripada saudara-mara.  Walaupun mungkin tidak dapat pulang ke kampung beraya tetapi saya dan isteri mahu melakukan persiapan untuk anak-anak seperti membeli baju baharu untuk menggembirakan mereka,” katanya.

Di IPOH, hari kedua pelaksanaan PKPB menyaksikan pelanggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diarahkan seperti memakai penutup hidung dan mulut serta mengamalkan jarak sosial semasa berurusan di premis pajak gadai termasuk di Jalan C. M. Yusuff.

Pesara swasta yang mahu dikenali sebagai Aziman, 65, berkata beliau beratur lebih sejam demi menebus rantai emas isterinya yang digadai sebelum pelaksanaan PKP. 

Bekas pekerja hotel yang mahu dikenali sebagai Nurul Aini, 34, pula menggunakan wang simpanannya  untuk menebus gelang emasnya untuk dipakai semasa Aidilfitri kelak.

Pemilik Kedai Emas Safura, Bibi Safura Ghulam Hydar, 56, memberitahu pihaknya menerima banyak permintaan untuk menggadai barang kemas semasa PKP namun memilih tidak menerimanya atas pelbagai faktor termasuk riba. 

Sebaliknya, beliau mengambil pendekatan membeli barangan yang dijual mengikut harga pasaran kerana mahu memudahkan urusan mereka yang kesusahan. 

DI JOHOR BAHRU,  tinjauan di beberapa kedai pajak gadai mendapati ramai yang mengunjunginya untuk melanjutkan tempoh gadaian.

Muhammad, 30, berkata beliau mahu memperbaharui tempoh gadaian yang sudah tamat bagi mengelak barang kemas miliknya dilelong. 

Pekerja kedai aksesori wanita  yang mahu dikenali sebagai Shafinaz, 39,  pula memilih memajak barang kemasnya berikutan harga emas yang tinggi ketika ini, sebagai persediaan untuk perbelanjaan kelak.

Di SUNGAI PETANI,  hanya dua premis pajak gadai yang menjadi tumpuan pelanggan yang kebanyakannya mahu menebus barang gadaian.

Pemilik kedai pajak gadai itu yang hanya ingin dikenali sebagai Lee, 50, berkata hari ini ramai pelanggan datang kerana mahu menebus barangan kemas serta melanjutkan tempoh pajakan.

"Sekarang harga emas naik, mungkin mereka tebus barang kemas untuk menjualnya pula," katanya sambil mememberitahu premisnya turut mematuhi moratorium selama tiga bulan seperti diarah kerajaan.

Di MELAKA, tinjauan Bernama di beberapa kedai pajak gadai di kawasan Kampung Jawa, Bukit Cina dan Jonker Street di sini mendapati kebanyakan pelanggan hadir untuk membayar upah pajak bagi menyambung tempoh pajakan selain segelintir yang memajak barang kemas mereka.

Agnes Leow, 51, yang menguruskan kedai pajak gadai keluarganya di Kampung Jawa sejak beroperasi hampir 30 tahun lepas, berkata pihaknya membuat persediaan awal untuk memudahkan urusan pelanggannya.

Pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Kavi, 44, dari Ujong Pasir, berkata beliau hadir ke kedai pajak itu kerana mahu menyambung tempoh pajakan rantai emasnya selama enam bulan lagi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan