COVID-19

COVID-19: Penting kuarantin ekoran 85 peratus pesakit di Sabah tiada gejala awal

21/04/2020 09:29 AM

KOTA KINABALU, 21 April  -- Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sangat menekankan kepentingan kuarantin bagi individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar atau dalam negara kerana 85 peratus pesakit positif COVID-19 di negeri ini tidak menunjukkan gejala awal.

Pengarahnya, Datuk Dr Christina Rundi berkata daripada 293 kes COVID-19 yang dianalisis, 249 kes atau 85 peratus didapati tidak mempunyai gejala pada peringkat awal.

“Keadaan ini amat membimbangkan kerana mereka berpotensi untuk menjangkiti kontak rapat tanpa disedari.

“Oleh itu dalam usaha membendung penularan COVID-19, langkah kuarantin ini penting untuk memutuskan rantaian jangkitan agar virus itu tidak merebak dan menjangkiti orang lain,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kini masih mengesan kes COVID-19 dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah pergerakan ke luar negara seperti Thailand, Indonesia dan Amerika Syarikat.

“Begitu juga kepada individu (dari) Sabah yang mempunyai sejarah perjalanan ke Semenanjung kerana masih terdapat kes COVID-19 yang dilaporkan di sana,” katanya.

Dr Christina berkata sehingga Ahad lepas, 53 orang sudah ditempatkan di 24 pusat kuarantin di seluruh negeri ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan