COVID-19

Penunggang GrabFood kemalangan, Prasarana mahu derma motosikal baharu

26/03/2020 07:27 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac -- Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berhasrat untuk membantu seorang penghantar makanan GrabFood yang terlibat dalam kemalangan dengan bas milik syarikat itu, GoKL, dengan menderma sebuah motosikal baharu.

Prasarana dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kemalangan yang tular di media sosial itu berlaku pada Selasa, pukul 2 petang di persimpangan Jalan Raja Chulan di sini.

“Prasarana memohon maaf kepada penghantar makanan GrabFood tersebut dan memohon beliau tampil dan menghubungi Ketua Unit Komunikasi Rapid Bus, Hazimin Sulaiman melalui WhatsApp di talian 016-6760297,” menurut kenyataan itu.

Prasarana turut menyatakan kapten bas berkenaan telah dikenal pasti dan tindakan susulan diambil ke atas beliau sementara menunggu keputusan siasatan pihak polis selepas laporan polis dibuat semalam.

“Semua kapten bas berkhidmat untuk Rapid Bus melalui program latihan yang komprehensif dan menjalani program latihan semula bagi memastikan mereka memberi tahap perkhidmatan yang baik dan selamat serta mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas. 

“Prasarana akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis bagi menjalankan siasatan," kata kenyataan itu.

-- BERNAMA  

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan