COVID-19

Sekolah dan universiti tutup, belajar 'online' kan boleh?

25/03/2020 05:17 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac -- Sekolah tutup? Universiti tutup?

Itu bukanlah alasan untuk menutup buku sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjalan, kerana pengajaran dan pembelajaran boleh terus berlangsung melepasi sempadan kelas atau bilik kuliah.

Bagi Syazana Mohamad Isa, 31, guru di sekolah swasta Sri Ara Schools (Sri Ara International and Private School) pembelajaran melalui alam maya pada waktu ini yang menjadi satu-satunya langkah selamat, pada mulanya dilihat sedikit mencabar dan kekok berbanding secara bersemuka.

Namun menurut guru subjek Sains, Biologi dan Kimia itu, langkah ‘e-pembelajaran’ yang sudah mula diperkenalkan secara berperingkat oleh sekolah tersebut sejak tahun lepas lagi, berjalan lancar dengan penerimaan yang cukup positif daripada pelajar dan juga ibu bapa.

“Pada awalnya sesetengah ibu bapa merasakan ia agak susah tetapi kini mereka berjaya menguasai aplikasi dan laman web malah sentiasa menunggu tugasan baharu untuk anak-anak mereka... untuk anak yang lebih besar (pelajar sekolah menengah atas)  mungkin tidak ada masalah sangat, tetapi untuk pelajar menengah rendah yang sudah biasa belajar secara bersemuka bersama guru, mulanya agak mencabar juga,” katanya kepada Bernama.

Katanya dengan ‘e-pembelajaran’, guru boleh memuat naik kerja latihan secara harian kepada pelajar mereka, malah pelajar sendiri boleh menyiapkan tugasan mengikut tarikh akhir dan bertanya dengan guru melalui laman maya sekiranya tidak faham dengan latihan yang diberikan.

“Kami cuba bermacam medium untuk berinteraksi tetapi kami dapati yang paling mudah adalah Google G Suite yang antaranya ada Google Classroom, Hangouts dan Groups… pelajar akan buka Google Classroom menggunakan emel yang diberikan dan muat turun kerja-kerja sekolah tersebut dan hantar sama ada secara dalam talian atau kena tulis jawapan dalam buku latihan mengikut arahan guru,” katanya.

Sementara itu, kebanyakan universiti di seluruh negara telah mengeluarkan pekeliling khas agar sesi kuliah dilaksanakan secara dalam talian bagi mengurangkan kontak secara bersemuka dalam kalangan penuntut, termasuklah Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Bagi Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Jaringan Industri), Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM Prof Madya Dr Mohd Syuhaidi Abu Bakar, setiap pensyarah perlu bersiap sedia dengan mekanisme serta bahan pengajaran dan pembelajaran masing-masing sebelum penuntut memulakan kuliah pada 13 April.

Katanya pelbagai aplikasi boleh digunakan bagi tujuan tersebut termasuklah Google Hangouts Meet dan Google Zoom untuk pengajaran, Kahoot untuk kuiz, Google Forms untuk merekodkan kedatangan, DropBox untuk penghantaran tugasan dan Google Docs untuk pensyarah membuat komen tugasan.

“Saya ajar dua subjek iaitu Penulisan Media Elektronik dan Penulisan Popular… bagi Penulisan Media Elektronik ia sudah ada dalam platform kursus pembelajaran secara terbuka dalam talian (MOOC),  jadi untuk subjek itu saya sudah bersedia namun subjek Penulisan Popular agak baharu untuk saya maka saya bercadang menggunakan aplikasi seperti Google Meet.

“Kuliah dalam talian ini, untuk nota dan tugasan tidak ada masalah… isunya mungkin talianlah, hendak pastikan semua ‘dalam talian’ untuk sidang video pada masa yang sama kerana kita tidak mahu ganggu waktu pensyarah lain dan kita mahu ikut jadual yang sekarang ini,” katanya.

Namun beliau berpendapat, tidak semua subjek pembelajaran sesuai dibuat dalam talian terutamanya yang melibatkan praktikal, contohnya subjek tarian memerlukan latihan secara berdepan, maka langkah terbaik perlu difikirkan oleh pensyarah sebelum cuti berakhir.

Dalam pada itu, Farizalina Ishak, 40, seorang penulis sambilan, berkongsi keterujaan anaknya Muhammad Aqil Raziq, 11, murid Sekolah Daqwah Rendah As Sofa, Ampang, yang mempelajari dan memperdengarkan al-Quran secara panggilan video bermula semalam hingga tamatnya PKP, kecuali hari minggu.

“Ini pengalaman baharu buat Aqil… mula-mula tu dia macam ‘kabur-kabur’ sedikit tetapi ustaz memandu dia jadi dia faham dan teruja sebab sebelum ini secara fizikal dan sekarang ‘bersemuka’ melalui aplikasi Skype.

“Untuk kanak-kanak di sekolah rendah menggunakan teknologi seperti ini tiada masalah… sekurang-kurangnya teknologi itu dapat dimanfaatkan dengan perkara lebih berfaedah daripada buang masa ‘berborak’ dan sebagainya… walau di mana pun kita boleh belajar al-Quran,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan