COVID-19

Hadir seorang diri ketika berurusan di kaunter JPJ

18/03/2020 06:37 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac -- Orang ramai yang mempunyai urusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini diminta supaya datang bersendirian.  

Timbalan Pengarah JPJ Kuala Lumpur Abdul Tolib Ahmad berkata ia sebagai satu daripada langkah bagi mengekang penularan COVID-19.

“Kita menyeru pelanggan yang datang berurusan untuk datang bersendirian dan tidak perlu bawa peneman atau anak-anak yang mungkin terdedah kepada jangkitan COVID-19.

“Pelanggan juga dinasihatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung serta menggunakan cecair pembasmi kuman supaya dapat mencegah jangkitan kepada orang lain,” katanya ketika ditemui Bernama di pejabat JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJWPKL) di Wangsa Maju, hari ini.

Isnin lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

Abdul Tolib berkata bagi mengurangkan penjarakan sosial antara pelanggan, pihaknya mengambil langkah mengehadkan hanya 15 pelanggan sahaja pada satu masa yang boleh berurusan di dalam pejabat JPJ di Wangsa Maju.

Beliau berkata bagaimanapun di cawangan lain seperti Bandar Seri Permaisuri, Manjalara, UTC Keramat, UTC Sentul, dan UTC Kuala Lumpur bilangan pelanggan akan dihadkan mengikut keperluan dan situasi semasa.

Katanya pada tahun lepas seramai 1.6 juta pelanggan menjalankan urusan mereka di JPJWPKL dengan cawangan Wangsa Maju mencatatkan bilangan pelanggan paling ramai iaitu 664,309 orang.

Abdul Tolib turut menjelaskan bilangan pelanggan mungkin bertambah walaupun kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan susulan peningkatan kes COVID-19.

“Saya merasakan mungkin ada kerisauan dalam masyarakat bahawa ada urus niaga tertentu sahaja yang disediakan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata majoriti pelanggan yang datang berurusan adalah mereka yang mahu memperbaharui Lesen Kenderaan Bermotor dan lesen memandu.

Tinjauan Bernama di JPJ Wangsa Maju mendapati orang ramai mengambil kesempatan menjalankan urusan mereka tanpa menghiraukan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa hari ini.

Ada antara pelanggan yang tidak dibenarkan berurusan di kaunter kerana tidak memakai penutup mulut dan hidung.

Sementara itu, JPJ dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook rasminya memaklumkan waktu urusan jabatan itu disingkatkan, hanya dari 9 pagi hingga 1 tengah hari bermula esok sehingga 31 Mac ini di seluruh negara.

“Orang ramai yang tidak sihat, mengalami simptom batuk, demam, selesema dan sesak nafas serta mempunyai sejarah melancong ke luar negara terutama negara yang dijangkiti COVID-19 dinasihatkan menangguhkan urusan untuk hadir ke kaunter JPJ.

“Bagaimanapun, orang ramai masih boleh menggunakan perkhidmatan dalam talian ID mySIKAP Orang Awam,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan