COVID-19

Singapura sahkan tiga lagi kes COVID-19, enam dibenarkan pulang

12/02/2020 10:46 PM

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 12 Feb -- Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura mengesahkan tiga lagi kes baharu COVID-19 dikesan di republik itu, menjadikan jumlahnya kepada 50 kes.

MOH dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua tiga kes itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Perkhidmatan Perubatan (Kumpulan Perkhidmatan Kesihatan) MOH, Prof Madya Kenneth Mak dalam satu sidang media berkata dua kes baharu melibatkan warga Singapura yang masing-masing bekerja di gereja Grace Assembly of God di Tanglin dan Bukit Batok.

Kes ke-50 pula membabitkan seorang warga Singapura yang bekerja di DBS Asia Central dan disahkan dijangkiti COVID-19 pagi tadi, kata Mak.

Dilaporkan, kira-kira 300 pekerja DBS mengosongkan pejabat mereka di Marina Bay Financial Centre selepas seorang pekerjanya disahkan dijangkiti Penyakit Virus Korona 2019 itu.

COVID-19 adalah nama rasmi bagi Novel Coronavirus 2019 seperti yang diumumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sementara itu, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata enam lagi kes COVID-19 dibenarkan pulang hari ini menjadikan jumlah pesakit yang sembuh sepenuhnya adalah 15 orang.

Gan berkata 35 kes yang disahkan masih berada di hospital dan kebanyakannya berada dalam keadaan stabil atau bertambah baik.

“Bagaimanapun, lapan pesakit berada di Unit Rawatan Rapi dan dalam keadaan kritikal. Kami sentiasa mendoakan mereka. Kakitangan penjagaan kesihatan juga akan terus memberikan mereka rawatan terbaik.

“Walaupun kebanyakan pesakit yang dijangkiti akan pulih, ada yang mungkin lebih parah dan sebilangan kecil berkemungkinan maut akibat jangkitan itu. Kita perlu bersedia untuk menghadapi keadaan yang lebih buruk,” katanya.

Kementerian itu memaklumkan berdasarkan siasatan epidemiologi dan pengesanan kontak mendapati terdapat hubungan antara kes baharu dan terdahulu.

Setakat ini, lima kes dikaitkan dengan The Life Church and Missions Singapore di Paya Lebar Road; sembilan kes kepada kluster dikaitkan dengan kedai produk kesihatan Cina, Yong Thai Hang; tiga (mesyuarat perniagaan swasta di Grand Hyatt Singapura); dua (tapak pembinaan Seletar Aerospace Heights) dan dua lagi (Grace Assembly of God).

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan