COVID-19

Covid-19: Kerajaan Johor nasihat penganjur Festival Chingay batalkan acara

12/02/2020 08:17 PM

JOHOR BAHRU, 12 Feb -- Kerajaan Johor menasihatkan penganjur Festival Perarakan Chingay 2020 untuk membatalkan acara itu yang dijadualkan berlangsung di sini pada Jumaat.

Pejabat Menteri Besar dalam kenyataan berkata keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) terhadap jangkitan COVID-19 (sebelum ini dikenali novel koronavirus 2019) dan ketidakupayaan untuk membuat saringan kesihatan kepada semua pengunjung pada skala besar.

Menurut kenyataan tersebut, langkah itu juga diambil setelah mengambil kira keadaan pihak keselamatan dan penganjur yang tidak dapat mengenal pasti jumlah sebenar kehadiran pengunjung yang dijangka menyertai perarakan berkenaan. 

“Kerajaan negeri berpendapat keputusan ini dibuat sebagai antara langkah-langkah pencegahan berikutan dikhuatiri berlaku penularan jangkitan skala besar sekiranya perarakan diteruskan.

“Bagaimanapun, upacara keagamaan sempena Chingay pada 13 dan 15 Feb masih boleh diteruskan tetapi pihak penganjur perlu menyediakan senarai nama berserta alamat lengkap peserta untuk diserahkan kepada JKNJ sebagai langkah berjaga-jaga,” menurut kenyataan itu.

Setakat ini, seramai 18 orang disahkan positif dijangkiti COVID-19 di Malaysia. Daripada jumlah itu, 12 daripadanya adalah warganegara China manakala enam rakyat Malaysia. Daripada 18 kes positif, tiga sudah pulih sepenuhnya.

Sementara itu, Persekutuan Tiong-Hua Johor Bahru yang menjadi penganjur festival berkenaan berkata pihaknya bersetuju membatalkan perarakan setelah meneliti pandangan setiap ahli gabungan dan juga nasihat daripada kerajaan negeri. 

"Setelah diambil kira kepentingan awam, kami semua juga bersepakat untuk membatalkan upacara ini. 

"Namun kepada mereka yang ingin ke tokong untuk upacara keagamaan, harus pastikan kesihatan dan sekiranya tidak sihat, anda boleh menonton upacara tersebut secara langsung di laman sosial kami,” kata Presiden persekutuan itu,  Ho Sow Tong dalam satu sidang media di sini sebentar tadi.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan