BERITA COVID–19   Kes COVID-19 meningkat, Itali perketat protokol kesihatan | Canberra hadapi gelombang baharu COVID-19 - Kementerian Kesihatan | Singapura lapor kematian pertama bawah umur 12 tahun akibat COVID-19 | Tiada SOP tambahan laksana ibadah korban tahun ini - MAIK | COVID: Kes baharu meningkat, kematian menurun minggu lalu - Noor Hisham | 
COVID-19

JKNJ nafi laporan libatkan anggota polis disyaki COVID-19 di Kota Tinggi

13/02/2020 12:31 AM

JOHOR BAHRU, 12 Feb -- Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan ada mengeluarkan kenyataan berkaitan laporan jangkitan COVID-19 dan pendedahan maklumat siasatan kontak melibatkan anggota polis di Bukit Besar, Kota Tinggi, seperti yang tular di media sosial hari ini.

Dalam satu kenyataan, JKNJ memaklumkan laporan polis berkaitan kenyataan yang tular itu telah dibuat.

Sehubungan dengan itu, jabatan itu turut menasihati orang awam agar tidak menyebarkan kenyataan yang tular itu kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan situasi panik dalam kalangan masyarakat.

“Harus diingatkan penyebaran berita palsu sebegini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan,” menurut JKNJ.

Terdahulu, tular satu laporan tentang kes melibatkan anggota polis yang disyaki dijangkiti COVID-19 di Kota Tinggi setelah pulang bekerja di Singapura, dalam media sosial seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Aman Rabu dalam kenyataan melalui perkongsian akaun Facebook JKNJ malam ini menegaskan bahawa maklumat peribadi dan nama pesakit yang terpapar di laman media sosial merupakan pelanggaran hak peribadi individu berkenaan.

"Pihak jabatan tidak terbabit dalam pendedahan maklumat itu dan siasatan masih dijalankan ke atas kes tersebut," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan