BERITA COVID–19   COVID-19: Lebih 22.9 juta dewasa lengkap divaksin | KKM tidak cadang lanjut vaksinasi PICKids | Kejayaan Malaysia masuk fasa peralihan ke endemik turut dibantu kempen COVID-19 RTM | “Tahniah rakyat Malaysia” - Khairy | COVID-19: Satu lagi kematian dilaporkan di Korea Utara | 
COVID-19

Saringan kesihatan di pintu masuk antarabangsa Langkawi diteruskan - Dr Noor Hisham

03/02/2020 11:03 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb -- Proses saringan kesihatan akan tetap diteruskan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL)) meskipun kesemua perkhidmatan penerbangan terus komersial antara negara China dan Pulau Langkawi digantung sementara waktu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, saringan diteruskan bagi mana-mana penumpang dan anak kapal dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

Katanya, beliau berkesempatan melihat sendiri langkah kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan dalam menangani jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di dua PMA iaitu LTAL dan Pelabuhan Jeti Kuah, Pulau Langkawi.

“Dalam tempoh 25 hingga 31 Januari, sejumlah 6,539 penumpang dan anak kapal daripada pelbagai destinasi antarabangsa telah tiba melalui PMA LTAL, manakala 3,082 melalui PMA Jeti Kuah,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Selain dua PMA itu, terdapat empat lagi PMA di Kedah iaitu Bukit Kayu Hitam, Pelabuhan Dermaga Tanjung Lembung, Pelabuhan Telaga Harbour Park dan Kota Putra di Durian Burung. 

Dr Noor Hisham berkata sejak awal Januari tahun ini, kesemua PMA di negara ini telah memperkukuhkan aktiviti saringan kesihatan dan kerjasama baik antara Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi berkaitan juga membolehkan pengesanan pantas pengembara yang mempunyai gejala.

Jelas beliau, sebarang kes yang disyaki koronavirus akan dinotifikasi kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) Kebangsaan dan dirujuk kepada hospital kerajaan yang dikenal pasti, manakala bagi yang tidak bergejala akan dibekalkan dengan ‘Health Alert Card’ sebelum meneruskan perjalanan.

Kenyataan itu memaklumkan selain saringan kesihatan, aktiviti disinfeksi di PMA bagi mencegah dan mengawal penularan jangkitan juga dilaksanakan dan dipantau oleh pasukan kesihatan.

“Terima kasih diucapkan kepada semua petugas barisan hadapan termasuk staf pembersihan yang bersiap sedia melaksanakan tugas walaupun seringkali ia tidak jelas di mata masyarakat umum,” tambahnya.

Dr Noor Hisham turut meminta semua pihak untuk memberikan kerjasama kepada pihak kesihatan dan agensi-agensi terlibat demi memastikan kesihatan awam dan keselamatan negara terpelihara.

 -- BERNAMA

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan