BERITA COVID–19   COVID-19: Lebih 22.9 juta dewasa lengkap divaksin | KKM tidak cadang lanjut vaksinasi PICKids | Kejayaan Malaysia masuk fasa peralihan ke endemik turut dibantu kempen COVID-19 RTM | “Tahniah rakyat Malaysia” - Khairy | COVID-19: Satu lagi kematian dilaporkan di Korea Utara | 
COVID-19

Kumpulan pertama 1 juta sarung tangan dihantar ke Wuhan, kumpulan seterusnya pada Rabu

03/02/2020 10:30 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb -- Kumpulan satu juta sarung tangan perubatan yang seterusnya dijadualkan akan dihantar ke Wuhan, China melalui pesawat MASkargo pada Rabu ini, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Ini susulan daripada kumpulan pertama satu juta sarung tangan dihantar ke Wuhan dalam penerbangan AirAsia yang ditugaskan oleh kerajaan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari bandar yang dilanda wabak 2019 novel koronavirus itu hari ini.

“Ini merupakan kumpulan pertama sarung tangan perubatan dihantar selepas pengumuman saya mengenai sumbangan sebanyak 18 juta sarung tangan perubatan ke China minggu lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Satu juta sarung tangan pemeriksaan lateks akan diterima oleh Hubei Charity Federation, penerima sumbangan yang dilantik kerajaan China, yang akan mengedarkan bekalan sarung tangan perubatan itu ke kemudahan penjagaan kesihatan di Wuhan.

Sarung tangan itu, dibungkus dalam kotak yang direka khas oleh Supermax Glove Manufacturing Sdn Bhd, dibawa melalui penerbangan khas yang akan membawa pulang 141 orang, terdiri daripada 116 rakyat Malaysia dan 25 bukan warganegara iaitu pasangan dan anak-anak mereka.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini berkata hanya mereka yang disahkan sihat selepas menjalani pemeriksaan oleh pihak berkuasa tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe akan dibawa pulang.

Kok berkata kerajaan menyedari keperluan kepada tindak balas yang cepat dan berjaya menghantar bantuan dengan kadar segera melalui penyelarasan daripada Kedutaan China di Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) dan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia. 

“Kami amat berterima kasih kepada AirAsia yang dapat memberi respons dengan cepat kepada permintaan kerajaan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan dan membawa bekalan sarung tangan perubatan untuk pekerja penjagaan kesihatan di Wuhan yang menguruskan keadaan yang amat besar dan kompleks.

“Seperti yang saya umumkan pada Jumaat lepas, MREPC dan sembilan pengeluar sarung tangan getah di Malaysia akan menyumbangkan 18 juta sarung tangan perubatan ke Wuhan,” katanya.

Selain Supermax, syarikat lain ialah Smart Glove, Top Glove, Hartalega, Kossan, YTY, Brightway, Koon Seng dan Careplus.

-- BERNAMA

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan