BERITA COVID–19   COVID-19: Lebih 22.9 juta dewasa lengkap divaksin | KKM tidak cadang lanjut vaksinasi PICKids | Kejayaan Malaysia masuk fasa peralihan ke endemik turut dibantu kempen COVID-19 RTM | “Tahniah rakyat Malaysia” - Khairy | COVID-19: Satu lagi kematian dilaporkan di Korea Utara | 
COVID-19

Pasaran eksport yang pelbagai penawar Malaysia bagi impak koronavirus

03/02/2020 07:52 PM

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 3 Feb -- Pasaran eksport Malaysia yang pelbagai menjadi kelebihan besar buat negara dalam meminimumkan kesan permintaan lembap dari China ekoran penularan wabak 2019 novel koronavirus.

Profesor Ekonomi di Fakulti Perniagaan, Sunway University, Dr Yeah Kim Leng berkata semua negara perdagangan, termasuk Malaysia pastinya akan merasai kesan yang sama namun tahapnya berbeza-beza, memandangkan pendedahan luas China kepada perdagangan dunia.

“Walaupun China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia, eksport kita ke negara lain seperti Amerika Syarikat dan Eropah masih mencatatkan kadar pertumbuhan yang sama. Pasaran eksport kita yang pelbagai akan membantu mengurangkan kesan berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Pada 2018, China mengeksport barangan bernilai US$1.71 trilion (US$1=RM4.09) ke pasaran global manakala nilai importnya sebanyak US$1.97 trilion.

Beliau berkata epidemik yang berlaku di China sebelum ini telah berjaya dikekang dan memberi impak minimum ke atas ekonomi, kecuali sindrom penafasan akut teruk (SARS)  yang menjejaskan Keluaran Dalam Negara Kasar di antara 0.1 dan 0.2 peratus.

Yeah berkata kadar jangkitan semasa wabak koronavirus sebenarnya mencapai tahap yang sama dengan SARS sebelum ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa kemungkinan kerajaan China terpaksa mengambil tempoh lebih panjang untuk mengekang penularannya.

Seperti dilaporkan media, terdapat 17,389 kes disahkan, dengan 17,206 daripadanya berlaku di China. Jumlah kes yang pulih sebanyak 487 namun jumlah kematian meningkat 362 orang.

Malaysia pula mengesahkan lapan kes koronavirus yang semuanya melibatkan warganegara China.

Terdapat risiko penutupan perniagaan selain lebih banyak bandar boleh ditutup, justeru tindakan itu akan mengehadkan aktiviti ekonomi seterusnya menyebabkan ekonomi China mengalami kelembapan, katanya.

Beliau berkata ramai pakar ekonomi telah sedia menjangkakan penurunan sehingga 0.2 mata peratusan daripada angka pertumbuhan yang diunjurkan bagi prestasi suku pertama China.

“Buat masa ini, berdasarkan langkah ketat yang diambil kerajaan China, saya berpandangan kebimbangan itu lebih menjurus kepada pengurusan wabak.

“Sekiranya penularan wabak itu dapat dikekang dalam lingkungan China, maka kesan ke atas dunia tidak akan terlalu teruk dan ekonomi global masih boleh mencatatkan peningkatan yang dijangkakan bagi 2020 berbanding 2019,” katanya.

Yeah berkata China mungkin perlu menyemak turun unjuran pertumbuhannya jika wabak itu berlarutan sehingga suku kedua.

“Jika wabak itu masih menular pada suku kedua, seluruh dunia seharusnya bimbang,” katanya.

China menyuntik US$173 bilion ke dalam ekonomi untuk mengurangkan impak ke atas pasaran kewangan apabila ia dibuka semula selepas cuti sambutan Tahun Baharu Lunar yang panjang.

Beliau berkata bagi Malaysia kerajaan akan mempertimbangkan untuk memperkenalkan pakej rangsangan fiskal bertujuan melonjakkan ekonomi.

Bagaimanapun ia seharusnya dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini selepas menyaksikan prestasi separuh pertama, katanya.

“Apa yang penting adalah sumber domestik kita perlu semakin meningkat, perbelanjaan infrastruktur bertambah, kekukuhan harga komoditi dan kadar guna tenaga pula seharusnya stabil untuk menyokong perbelanjaan dalam negara.

“Sekiranya wabak itu terus menular, kerajaan perlu berbelanja lebih dan melonggarkan had defisit fiskal daripada 3.2 peratus yang disasarkan tahun ini kepada mungkin sedikit lebih tinggi di antara 3.3 atau 3.4 peratus untuk mengukuhkan ekonomi domestik,” katanya.

Minggu lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan sedang menilai dan bersedia untuk melancarkan pakej rangsangan ekonomi jika perlu, bagi menangani kesan koronavirus ke atas ekonomi.

Beliau berkata masih terlalu awal untuk kerajaan mengambil langlah tersebut kerana ia perlu mengkaji dan menganalisis impak berkaitan.

“Yang penting kini ialah beri tumpuan dan sokongan terhadap usaha dan tindakan yang diambil oleh Kementerian Kesihatan bagi memastikan Malaysia selamat dan bebas daripada virus berkenaan,” katanya.

2019 novel koronavirus, yang pertama kali dikesan pada Disember 2019 di Wuhan, China, boleh menyebabkan radang paru-paru dan simptom seperti demam, batuk dan kesukaran bernafas.

-- BERNAMA

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan