COVID-19

Gobind harap Sebenarnya.my dan agensi berita rasmi dapat tangkis berita palsu koronavirus

03/02/2020 06:29 PM

PUTRAJAYA, 3 Feb -- Peranan yang dimainkan portal 'Sebenarnya.my' serta agensi-agensi berita rasmi kerajaan diharap dapat mengekang penularan berita palsu berkaitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) yang boleh memberi kesan kepada masyarakat dan negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata kementeriannya bertanggungjawab dalam memastikan penerangan dan maklumat penting yang benar dan sahih sampai kepada semua lapisan masyarakat terutamanya hebahan mengenai jangkitan itu.

Menurut beliau setakat semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi portal 'Sebenarnya.my' telah menangkis dan menjelaskan hampir 30 berita palsu mengenai 2019-nCov yang disebarkan di internet.

"Kita tidak mahu berita tidak benar menular di media sosial dan ini merupakan usaha SKMM untuk memperbetulkan keadaan dan saya rasa ianya berjaya menunjukkan keberhasilan. 

"Jadi sekiranya kita mahu melihat sesuatu perkara itu benar atau tidak, semua boleh merujuk kepada portal ‘Sebenarnya.my’," katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Menteri 2020 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, katanya, agensi berita rasmi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) juga mengambil langkah proaktif untuk memastikan bahawa masyarakat mendapat berita dan maklumat yang sahih, ditentusahkan dan terkini mengenai wabak itu. 

"Selain daripada laporan berita, pelbagai bahan penyampaian maklumat juga telah digunakan seperti video, kapsul dan infografik kesedaran awam dan langkah-langkah pencegahan dalam pelbagai bahasa," katanya. 

Jelasnya usaha itu penting bagi memastikan rakyat memahami dengan lebih mendalam mengenai 2019-nCoV dan juga langkah-langkah yang diambil oleh pihak berkuasa untuk mengawal dan mencegah penyebaran virus itu.

Selain itu, katanya, setakat 31 Jan, sebanyak 432 program ‘Info on Wheels’ (IOW) telah berjaya dilaksanakan di seluruh negara. 

Program hebahan bersemuka itu memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapat pemahaman yang lebih baik daripada pasukan unit hebahan itu jika ada keraguan atau ketidakpastian mengenai 2019-nCoV.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan