COVID-19

Empat fasa bawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan

03/02/2020 05:44 PM

PUTRAJAYA, 3 Feb -- Misi membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China perlu melalui empat fasa iaitu sebelum berlepas ke Wuhan, semasa misi membawa pulang, ketibaan di tanah air dan kemasukan semua individu yang terlibat ke Pusat Pemantauan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pada fasa pertama, iaitu sebelum berlepas ke Wuhan, Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi akan dipatuhi sepenuhnya dalam melaksanakan misi itu.

Beliau berkata, dalam fasa kedua (in flight operation), pemantauan atau pemerhatian dan pengawasan oleh kakitangan pasukan perubatan akan sentiasa memantau penumpang dan kru, dan sekiranya ada yang mempunyai gejala akan diisolasi di penghujung pesawat yang mempunyai kapasiti 188 tempat duduk. 

"On landing dan sebelum mereka keluar akan dilakukan langkah ‘disinfection spray to disinfect the flight’ dan apa juga barang-barang di dalam pesawat.

"Pesawat yang membawa pulang rakyat Malaysia ini akan mendarat di KLIA namun ditekankan kesemua mereka tidak akan masuk ke bangunan terminal itu bagi menjauhi jangkitan… pihak awam tidak perlu khuatir," katanya pada sidang media perkembangan terkini Koronavirus di sini,  hari ini.

Mereka yang akan menaiki penerbangan khas itu melibatkan 167 individu yang terdiri daripada 141 rakyat Malaysia bersama pasangan dan anak,12 kru, lapan petugas misi dan enam pegawai daripada Kedutaan Malaysia di Beijing.

Pesawat AirAsia untuk misi membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ke Wuhan, kira-kira pukul 3.50 petang tadi. 

Dr Dzulkefly berkata sejurus mendarat, penumpang dan semua kru terlibat akan menaiki bas khas yang akan terus membawa mereka ke ‘air disaster unit’ bagi proses dekontaminasi dan saringan kesihatan untuk mereka menukar pakaian, yang akan diuruskan oleh pasukan ‘Hazardous Material’ (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama KKM.

"Urusan penumpang pesawat ke hospital bergantung kepada bagaimana mereka yang disaring itu, bagi mereka yang didapati bergejala akan dibawa terus sama ada ke Hospital Sungai Buloh atau Hospital Kuala Lumpur untuk rujukan.

"Mereka hanya akan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing setelah didapati bebas daripada novel koronavirus 2019. Dalam tempoh intervensi selama 14 hari di pusat pemantauan itu, waris tidak dibenarkan melawat, namun masih boleh berkomunikasi melalui telefon,” katanya. 

Beliau seterusnya berkata setakat ini tiada pertambahan kes positif koronavirus dan jumlahnya kekal lapan setakat pukul 12 tengah hari ini, iaitu tiga kes terdahulu dan lima kes dalam kalangan kontak rapat yang melibatkan warganegara China.

“Semua warganegara China yang disahkan positif sebelum ini berada dalam keadaan stabil dan tidak menunjukkan ‘worsening symptom’. Mereka dijangka menjalani pemeriksaan selama seminggu dan hanya akan dibenarkan untuk keluar wad selepas disahkan negatif,” katanya.

Ditanya mengenai lokasi pusat pemantauan, Dr Dzulkefly berkata maklumat itu tidak dapat dikongsi kerana ia di bawah bidang kuasa Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), namun menurutnya pusat itu mempunyai fasiliti yang lengkap.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan