COVID-19

Koronavirus: Korea Selatan peruntuk AS$334 juta bantu pengeksport

03/02/2020 05:27 PM

SEOUL, 3 Feb -- Korea Selatan peruntuk dana berjumlah 400 bilion won (US$334 juta) untuk membantu pengeksport yang terjejas akibat wabak novel koronavirus di China, lapor agensi berita Yonhap.

"Kebimbangan terhadap eksport Korea Selatan semakin meningkat terutamanya disebabkan ketegangan geopolitik di Timur Tengah dan penyebaran virus itu," kata Menteri Industri Sung Yun-mo pada Isnin.

"Walaupun novel koronavirus belum memberi impak kepada eksport Korea Selatan, kita perlu terus berjaga-jaga kerana ia mungkin menjejaskan ekonomi dan rantaian bekalan dunia, andai keadaan itu berlarutan," tambah Sung.

China merupakan rakan dagang utama Korea Selatan, menyumbang satu perempat daripada keseluruhan eksport pada 2019.

Syarikat Korea Selatan yang berpangkalan di China dibimbangi menghadapi beberapa gangguan dalam pengeluaran mereka, memandangkan pihak berkuasa memutuskan untuk menambah cuti di kawasan yang terjejas termasuk di wilayah Hubei. 

Berikutan itu, kilang-kilang yang berpangkalan di China terpaksa mengurangkan pengeluaran mereka.

Korea Selatan akan menggunakan saluran diplomatik untuk memohon Beijing membenarkan kilang utama dibuka semula bagi memastikan bekalan peralatan auto dapat dikekalkan. 

Setakat ini, virus yang pertama kali dikesan di Wuhan itu telah mengorbankan lebih 360 orang di China dan kira-kira 17,000 dijangkiti. Sebanyak 15 kes dilaporkan di Korea Selatan pada Ahad. Kes pertama dilaporkan pada 20 Jan.

Keadaan itu mendorong Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan wabak koronavirus sebagai darurat kesihatan global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan