COVID-19

Koronavirus: Sabah teliti keperluan bekalkan alat pencegahan kepada petugas di pintu masuk negeri

26/01/2020 11:23 AM

SEMPORNA, 26 Jan -- Kerajaan negeri Sabah meneliti keperluan membekalkan peralatan pencegahan untuk petugas seperti anggota penguat kuasa yang memeriksa warga asing di pintu masuk negeri bagi mengelak penularan wabak koronavirus.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata wujud keperluan mengagihkan peralatan pencegahan seperti penutup hidung dan mulut, sarung tangan dan pencuci tangan (hand sanitizer) kepada petugas terlibat bagi mencegah jangkitan virus itu.

"Saya ingat Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat serta Kementerian Pelajaran dan Inovasi sedang mengusahakan perkara ini," katanya kepada pemberita selepas sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Parti Warisan Sabah cawangan Bandar Baru Semporna di sini, malam tadi.

Beliau berkata Sabah juga mengambil langkah berjaga-jaga memperketatkan pengawasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

"Kita ambil langkah proaktif, pencegahan, misalnya meletakkan kemudahan saringan kesihatan untuk mengesan tahap kesihatan pelancong yang datang," katanya.

Setakat ini, dilaporkan empat warga China yang memasuki Malaysia melalui Johor dari Singapura disahkan positif 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) .

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan