COVID-19

Koronavirus: Tiada rancangan larang kemasukan pelancong China setakat ini - PM Mahathir

25/01/2020 03:29 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jan -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tiada rancangan untuk melarang pelancong China memasuki negara ini buat masa ini susulan merebaknya wabak koronavirus di Wuhan, China.

Buat masa sekarang, kerajaan hanya akan menjalankan saringan ke atas penumpang dan pelancong yang tiba di negara ini, katanya.

“Jangan halang mereka. Kita akan periksa mereka (pelancong), dengan memeriksa (mereka) ia akan membolehkan kita mengesan (sebarang tanda virus itu) pada peringkat awal,” katanya pada persidangan akhbar selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di sini, hari ini.

Hari ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan tiga daripada lapan warga China yang dikuarantin di Johor Bahru positif koronavirus, atau disebut juga Wuhan koronavirus.

Ketiga-tiga pesakit itu, yang diasingkan dan dirawat di Hospital Sungai Buloh, adalah keluarga rapat kepada seorang lelaki warga China berumur 66 tahun dari Wuhan, yang tiba di Singapura pada 20 Jan dan disahkan pada 23 Jan sebagai kes pertama Singapura dengan individu yang sah positif mengalami virus itu.

Ketiga-tiga kes positif itu di Malaysia terdiri daripada isteri pesakit di Singapura, 65, dan dua cucu pasangan berkenaan.

Ketika ditanya jika kerajaan akan mengkaji semula pengecualian visa 15 hari bagi pelancong dari China sekiranya wabak itu bertambah buruk, Dr Mahathir berkata kerajaan tidak akan berbuat demikian pada masa sekarang.

“Pada masa sekarang belum lagi tetapi kita akan memeriksa semua pelancong yang datang ke sini terutama mereka dari China,” katanya.

Mengulas mengenai tiga warga China yang disahkan positif koronavirus, Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia perlu terus berjaga-jaga dan memakai topeng mulut dan hidung bila berada di kawasan ramai orang.

Beliau berkata adalah sukar untuk sesebuah kerajaan mengekang penularan wabak tertentu terutamanya dalam situasi dunia kini di mana manusia dan barangan dengan mudah bergerak dari satu negara ke negara lain. 

“Oleh itu, membendung daripada jangkitan penyakit adalah lebih rumit daripada dulu,” katanya. 

 -- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan