COVID-19

Thailand sahkan kes novel koronavirus kelima

26/01/2020 11:39 AM

BANGKOK, 24 Jan -- Kementerian Kesihatan Awam Thailand hari ini mengesahkan kes kelima novel koronavirus dikesan di negara itu.

Ia merupakan kes kedua pesakit gagal dikesan menerusi saringan di lapangan terbang.

Timbalan Menteri Kesihatan Awamnya, Sathit Patucha berkata pelancong wanita warga China berusia 33 tahun itu tiba di Bangkok dari Wuhan bersama anak perempuanya yang berusia tujuh tahun pada 21 Jan lepas.

Beliau berkata pesakit berkenaan telah ke hospital swasta kerana demam, sakit otot dan batuk. Wanita itu kemudian dipindahkan ke hospital kerajaan semalam.

“Keputusan ujian makmal mengesahkan wanita itu positif novel koronavirus. Keadaannya bertambah baik. Anak perempuannya telah diuji tetapi negatif virus tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melawat wanita itu di Hospital Rajavithi, di sini hari ini.

Pada 12 Januari, Thailand mengesahkan kes pertama novel koronavirus apabila seorang wanita berusia 61 tahun dari Wuhan dikesan mengalami demam menerusi pengesan haba sebaik tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi.

 Sementara itu, seorang wanita warga Thai yang didiagnos dijangkiti virus itu pada 15 Jan lepas selepas mengunjungi Wuhan, telah dibenarkan keluar hospital hari ini selepas ujian makmal mendapati beliau telah bebas daripada virus itu.

Setakat ini, dua pesakit masih dikuarantin di negara itu.

Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Dr Sukhum Karnchanapimai berkata Thailand telah meningkatkan pemantauan dan pengawasan di lima lapangan terbang utama - Suvarnabhumi, Don Mueang, Chiang Mai, Phuket, dan  Krabi yang mempunyai penerbangan terus dari Wuhan susulan cuti Tahun Baharu Cina.

Katanya, sejak 3 Jan lepas, seramai 21,374 penumpang daripada 136 penerbangan dari Wuhan telah disaring untuk mengesan simptom pernafasan dan demam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan