COVID-19

MAHB optimis pertumbuhan pergerakan trafik penumpang meskipun penularan coronavirus

24/01/2020 08:00 PM

Oleh S. Joan Santani

KUALA LUMPUR, 24 Jan -- Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) optimis pertumbuhan pergerakan trafik penumpang semasa tempoh perayaan Tahun Baru Cina bermula sekarang sehingga 2 Februari, 2020, meskipun penularan wabak coronavirus di China ketika ini.

Pengurus Besar Operasinya Mohd Arif Jaafar berkata dijangkakan kira-kira 1.3 juta penumpang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan 1.8 juta penumpang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang semasa musim perayaan ini. 

"Aliran penumpang datang menerusi penerbangan domestik dan antarabangsa dari negara lain yang akan membentuk pergerakan trafik yang besar,” katanya kepada Bernama.

Ditanya mengenai langkah-langkah yang diambil untuk membendung penularan wabak coronavirus itu, Mohd Arif berkata lapangan terbang terbabit telahpun menempatkan pengimbas haba di pintu ketibaan sebelum wabak itu menular. 

Beberapa syarikat penerbangan seperti Malindo Air dan AirAsia telahpun menggantung penerbangan antarabangsa mereka dari kawasan terjejas.

Malindo Air menggantung penerbangan antarabangsanya antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe, China, berkuat kuasa serta merta. 

Sementara itu, semua penerbangan AirAsia dari Kota Kinabalu, Bangkok dan Phuket ke Wuhan, China dibatalkan sementara sehingga 28 Januari, 2020. 

Sementara itu, Mohd Arif berkata bagi menangani lonjakan pergerakan trafik penumpang, pengendali lapangan terbang itu dan agensi-agensi lain akan menempatkan lebih ramai kakitangan di kawasan terminal.

MAHB akan bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak berkuasa termasuk polis untuk memastikan perjalanan penumpang yang lebih lancar menerusi KLIA dan klia2 semasa musim perayaan akan datang. 

"Penumpang dinasihatkan tiba lebih awal di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam bagi memudahkan urusan daftar masuk yang lancar. Lapangan terbang terbabit juga menyediakan kemudahan seperti daftar masuk web di kiosk bagi memudahkan urusan perjalanan penumpang. 

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk menggunakan pengangkutan awam sebanyak mungkin untuk pergi ke lapangan terbang. Perjalanan hanya mengambil masa kurang daripada 30 minat dengan menaiki Express Rail Link (ERL),” katanya. 

Mohd Arif berkata selain menempatkan lebih ramai kakitangan di terminal semasa tempoh tersebut, ia juga akan melaksanakan pelbagai langkah seperti mengawal peningkatan aliran trafik di bebendul jalan bagi menurunkan dan mengambil penumpang.

Mengulas mengenai kemudahan terkini, beliau berkata klia2 baru-baru ini telah membuka kawasan parkir luar terbuka baharu,  Car Park E, yang terletak bertentangan dengan terminal, bersebelahan Hotel Sama-Sama. 

Beliau berkata kawasan parkir itu mempunyai 500 petak parkir serta memberi keutamaan kepada pemandu kurang upaya dan mudah untuk diakses ke terminal menerusi jambatan penghubung di Hotel Sama-Sama.  

--BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan