COVID-19

Kes pertama koronavirus dikesan di Washington

26/01/2020 11:48 AM

WASHINGTON, 22 Jan -- Kes pertama koronavirus dikesan di Washington, Amerika Syarikat (AS), menurut agensi kesihatan negara itu pada Selasa lapor agensi berita Anadolu.

Pesakit lelaki yang dijangkiti itu dari daerah Snohomish, kini dirawat di Pusat Perubatan Wilayah Providence di Everett. Lelaki itu kembali pada 15 Jan dari Wuhan, China, tempat wabak itu mula menular. 

Pesakit dalam usia lingkungan 30-an mengalami beberapa gejala dan didiagnosis dengan penyakit radang paru-paru, minggu lalu. Pada Isnin beliau disahkan dijangkiti koronavirus baharu.

CNN dan New York Times pertama kali melaporkan kes itu.

"Walaupun awalnya anggapan bahawa wabak menular daripada haiwan kepada manusia, terdapat tanda-tanda jelas ia boleh merebak antara manusia kepada manusia," kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dalam satu kenyataan. "Namun masih tidak jelas berapa cepat virus itu boleh merebak."

Juga dikenali sebagai 2019-nCoV, koronavirus itu menyebabkan gejala-gejala seperti penyakit radang paru-paru, mula dikesan pada Disember di Wuhan, China.

Gejala itu termasuk demam, batuk dan sukar bernafas.

CDC berkata ia bekerjasama rapat dengan Washington dan rakan kongsi tempatan serta menghantar satu pasukan untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan. 

Pada Jumaat, agensi itu mula menjalankan saringan kesihatan terhadap pelancong dari Wuhan, di lapangan terbang San Francisco, New York dan Los Angeles.

Minggu ini, saringan kesihatan turut dijalankan di lapangan terbang Atlanta dan Chicago.

Sekurang-kurangnya enam orang maut dan hampir 300 kes dilaporkan di China bulan ini. Di luar China, virus itu turut menjejaskan penduduk di Taiwan, Jepun dan Korea Selatan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan