BENCANA NEGARA

PERLUASAN MANFAAT SARA TERMASUK BELI KELENGKAPAN SEKOLAH, LEGAKAN PENERIMA

03/03/2024 06:02 PM

TAPAH, 3 Mac (Bernama) -- Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diperluaskan manfaatnya untuk membeli kegunaan selain pembelian barangan asas melegakan para penerimanya. 

Perkara itu sedikit sebanyak pastinya meringankan beban golongan yang memerlukan terutama dalam membeli kelengkapan sekolah menjelang pembukaan sekolah tidak lama lagi. 

Suri rumah Jasma Omar, 35, ketika ditemui pada program turun padang SARA di sebuah pasar raya di sini berkata beliau menggunakan sumbangan itu untuk membeli pakaian dan kasut sekolah anak perempuannya  Nur Hanani Damia, 13, yang bakal memasuki Tingkatan 1 tahun ini. 

“SARA … saya dan suami beli makanan, barang dapur dan ini merupakan kali pertama suami mendapat bantuan itu. Dalam keadaan harga barang pun mahal, SARA amat membantu kami.

Walaupun dah beli keperluan asas dan kelengkapan sekolah anak, masih ada baki lagi daripada SARA,” katanya.

Sementara itu, peniaga sayur-sayuran V. Umah @ Roseline, 50, berkata beliau menggunakan SARA untuk membeli beras, roti dan sabun mandi pada hari ini.

“SARA banyak membantu, lebih-lebih lagi saya ini peniaga kecil sahaja. Setiap bulan dapat RM100 memang berbaloi dan sekarang ini apabila saya tahu boleh guna juga untuk beli ubat, kalau pening kepala boleh beli Panadol (ubat),” kata ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu.

Dalam pada itu, seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Muhammad Hafizi Junos, 32, berkata SARA yang diterimanya itu digunakan untuk membeli barangan keperluan keluarganya seperti beras dan minyak masak.

Seorang lagi penerima iaitu pembantu kedai Nur Faezah Osman, 32, berkata beliau menggunakan SARA secara berjimat cermat dan membeli barangan yang perlu sahaja.

“Saya hanya beli barang keperluan asas seperti barang mandian, makanan ringan dan barang asas dapur macam minyak masak sahaja. Bagi saya SARA bantu untuk saya beli barang keperluan sebelum saya dapat gaji pada hujung bulan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam sesi turun padangnya meninjau pelaksanaan program SARA di pasar raya itu.

Pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan Program Rintis Penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 di kawasan pedalaman bagi Masyarakat Orang Asli di Daerah Batang Padang di sini, beliau berkata dijangka 700,000 penerima akan menerima bantuan SARA dengan peruntukan RM700 juta tahun ini.

Beliau berkata menjelang sesi persekolahan yang akan dibuka pada bulan ini, keluarga yang menerima SARA boleh membeli kelengkapan sekolah supaya anak mereka boleh membeli barangan baharu yang lebih baik.

“Tadi masa melawat (pasar raya berkenaan), ada banyak penerima datang. Kebanyakan barang yang dibeli adalah keperluan asas seperti minyak masak, beras dan gula.

Sekolah nak buka, nampak juga keluarga datang beli baju sekolah, alat tulis sekolah. Kanak-kanak itu nampak ceria, harap-harap tahap keyakinan mereka baik sikit supaya kita dapat membina generasi muda yang lebih kuat lagi untuk Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan