BENCANA NEGARA

SABAH PERUNTUK RM15 JUTA BANTU USAHAWAN SEKTOR PEMBUATAN PRODUK TEMPATAN TAHUN INI

03/03/2024 04:19 PM

TAWAU, 3 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri Sabah menyediakan peruntukan sebanyak RM15 juta tahun ini untuk membantu usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam sektor pembuatan produk tempatan.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Andi Muhammad Suryadi Bandy berkata bantuan itu akan disalurkan kepada usahawan melalui program bantuan SME-Up yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak 2017.

Beliau berkata antara bantuan yang akan diberikan kepada usahawan terpilih melalui program itu termasuklah mesin, peralatan, pendigitalan dan pembungkusan serta membantu mereka mendapatkan sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan pensijilan halal.

"Kita harap (dengan bantuan ini) lebih ramai usahawan dapat dilahirkan.

"Kita juga (berharap) lebih banyak bantuan berbentuk geran atau pinjaman (diberikan) kepada usahawan di Sabah kerana ia adalah antara faktor yang boleh merancakkan perniagaan (iaitu) melalui sokongan modal dan dana," katanya ketika berucap menutup Karnival Jelajah Usahawan Sabah, di sini, hari ini.

Andi Muhammad Suryadi berkata usahawan yang ingin mendapatkan bantuan itu boleh mendaftar di portal SME Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah (DIDR) di laman sesawang https://smedidr.com.my/

“Program ini terbuka kepada semua usahawan yang memenuhi kriteria ditetapkan, diharap ramai usahawan Sabah mengambil peluang yang disediakan ini," katanya.

Beliau berkata ketika ini kira-kira 6,000 usahawan telah berdaftar di bawah kementeriannya dengan majoritinya dari kawasan pantai timur Sabah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan