BENCANA NEGARA

PASANGAN WARGA EMAS MAUT DALAM KEBAKARAN DI BENGKEL KENDERAAN

02/03/2024 05:21 PM

KUCHING, 2 Mac (Bernama) -- Sepasang suami isteri warga emas maut dalam kebakaran di bengkel kenderaan yang bersambung dengan rumah mereka di Jalan Datuk Bandar Mustapha, dekat sini, pagi tadi. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Datuk Khirudin Drahman berkata mangsa Chin Ah Jon, 70, dijumpai di kawasan ruang tamu manakala isterinya, Lim Gek Hue, 60, di bilik tidur.

“Anak pasangan itu mengesahkan kedua-dua mangsa merupakan ibu bapanya,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian kira-kira 4 pagi dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 5.23 pagi, sebelum memulakan operasi mencari mangsa.

“Bomba mendapatkan bantuan anjing forensik daripada Unit K9 JBPM Sarawak, Wief bagi mengumpul bahan bukti serta mencari punca kejadian itu,” katanya. 

Dalam pada itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, memaklumkan struktur bengkel berkenaan terbakar 100 peratus, selain lima kenderaan pelbagai jenis turut terbakar sepenuhnya.

Mayat pasangan itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan