BENCANA NEGARA

45 USAHAWAN MIKRO ASNAF SELANGOR AKAN TERIMA BANTUAN RM225,000

08/12/2023 04:45 PM

PETALING JAYA, 8 Dis (Bernama) -- Sebanyak 45 usahawan mikro asnaf di Selangor akan menerima dana pembiayaan mikro zakat berjumlah RM225,000 menerusi Program Pembiayaan Mikro Zakat Alliance Islamic Bank (AZAM).

Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal Il-Ehzan Fadil Azim berkata dana itu dijangka diserahkan dalam masa terdekat berdasarkan nama yang telah disaring Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Lembaga Zakat Selangor.

“Alliance Islamic Bank akan menanggung semua kos pengurusan yang berkaitan dengan program ini dan sebagai permulaan, kami akan memperuntukkan RM225,000 dana zakat wakalah, melalui dana pusingan untuk memberi manfaat kepada 45 usahawan mikro asnaf. 

“Mereka yang layak serta memerlukan modal kerja atau sokongan perbelanjaan modal boleh memperoleh dana pembiayaan mikro zakat sehingga RM5,000,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian rakan strategik antara Alliance Islamic Bank Bhd dan AIM, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata pembiayaan mikro itu berasaskan prinsip Qard dengan penerima hanya perlu membayar balik dana pokok pembiayaan tanpa adanya elemen untung atau bunga.

“Dana yang dibayar balik akan disalurkan semula ke tabung zakat untuk kitaran agihan pembiayaan seterusnya kepada asnaf-asnaf yang lain,” katanya.

Malah, jika ada asnaf yang sudah berjaya dan memerlukan modal tambahan pihaknya juga boleh mempertimbangkan hal tersebut, katanya.

Rizal berkata dana itu merupakan agihan zakat berbentuk produktif, dengan manfaat zakat digunakan membantu golongan asnaf menjadi usahawan dan mendapatkan modal atau pinjaman bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Beliau berkata di Selangor sahaja dianggarkan sekurang-kurangnya 500,000 orang miskin dengan jumlah keluarga asnaf meningkat kepada 157,000.

“Jadi, dengan bantuan dana ini diharap dapat meningkatkan kalangan asnaf keluar dari kepompong tersebut dan di masa akan datang mereka pula boleh menjadi pembayar zakat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz berkata untuk terus membantu usahawan mikro asnaf, program AZAM dilengkapkan dengan modul peningkatan kemahiran yang merangkumi bidang pengurusan perniagaan dan kewangan serta pemasaran.

“Kerjasama ini membolehkan kami membantu para usahawan mikro berpendapatan rendah untuk meningkatkan kemahiran perniagaan masing-masing menerusi sesi latihan dan bimbingan mentor,” katanya.

Pada majlis itu, Alliance Islamic Bank Bhd dan AIM menandatangani perjanjian rakan strategik bagi program AZAM.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan