BENCANA NEGARA

JAS TERUSKAN KERJA INVENTORI BUANGAN TERJADUAL DI PREMIS TERBAKAR DI BUKIT SELAMBAU

08/12/2023 03:00 PM

ALOR SETAR, 8 Dis (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) meneruskan kerja-kerja inventori buangan yang terdapat di tiga premis terbabit kebakaran di Bukit Selambau dekat Sungai Petani, Ahad lepas.

Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata kerja-kerja inventori menyeluruh itu dilakukan selepas Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selesai menjalankan siasatan mengenal pasti punca kebakaran.

“Secara umumnya, premis-premis ini menempatkan pelbagai buangan seperti sekerap logam, buangan elektrik dan elektronik, bateri litium, transformer dan asid terpakai… persampelan tambahan juga akan dilakukan sekiranya perlu.

“Keadaan di dalam premis masih lagi tercemar dan peralatan perlindungan diri (PPE) masih perlu dipakai bagi mengelak kakitangan terhidu gas-gas toksik. Kerja-kerja juga dilakukan secara berhati-hati dan perlu dihentikan sekiranya hujan kerana terdapat bahan yang masih boleh bertindak balas dan meletup sekiranya terkena air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharifah Zakiah berkata kesemua premis terbabit yang beroperasi tanpa kelulusan itu tidak mengikut spesifikasi penstoran bahan buangan berbahaya yang telah ditetapkan oleh JAS.

“Percampuran bahan buangan yang tidak terurus dan tidak serasi juga berpotensi menyebabkan bahan-bahan bertindak balas, meletup dan menyebabkan kebakaran.

“Semua pengeluar buangan dinasihatkan untuk memastikan bahan buangan terjadual hanya dihantar ke premis berlesen dan mengaudit premis yang mengambil buangan bagi memastikan semua buangan yang diambil sampai ke destinasi dan diproses atau dilupuskan mengikut kaedah yang dibenarkan JAS,” katanya.

Dalam kejadian Ahad lepas, tiga premis yang menempatkan barangan terpakai berupa logam tembaga dan wayar di sebuah kilang di Bukit Selambau, musnah dalam kebakaran.

Kebakaran itu menyebabkan berlaku letupan dan percikan ‘bunga api’, sebelum pihak bomba berjaya mengawal kebakaran itu pada 10.02 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan