BENCANA NEGARA

POLIS KESAN LOGESWARAN BANTU SIASATAN KEBAKARAN GUDANG PAKAIAN

27/01/2023 05:28 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai suspek utama kes khianat melibatkan dua kebakaran di sebuah gudang pakaian di Jalan 2/17 Mutiara Fadason, di sini, baru-baru ini yang membabitkan kerugian melebihi RM1 juta.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata lelaki itu ialah G.Logeswaran, 41, yang beralamat terakhir di M2-3-14, Jalan Pandan Indah 6/1, Pandan Indah, di sini.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan kebakaran pertama pada 4.08 pagi, 6 Jan lepas melibatkan peti ais, sofa serta peti suis elektrik di  bahagian hadapan gudang itu dengan kerugian RM4,000 daripada pengurus gudang berkenaan yang berusia 41 tahun.

“Semakan kamera litar tertutup di kawasan itu mendapati kebakaran bermula pada 3.06 pagi dengan terdapat kelibat suspek memanjat tembok lalu membaling sesuatu ke arah gudang dan selepas itu nampak nyalaan api,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beh berkata laporan mengenai kebakaran kedua yang berlaku pada 11 Jan lepas dan memusnahkan 14,400 helai pakaian dengan kerugian dianggarkan RM1.5 juta diterima daripada pengurus sama pada 4.30 pagi hari sama.

Beliau berkata susulan itu, pihaknya menjalankan enam serbuan di beberapa lokasi di sekitar Selangor antara 15 hingga 18 Jan dan memberkas sembilan individu berusia lingkungan 24 hingga 34 tahun.

Katanya siasatan awal mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta diupah sebanyak RM10,000 untuk membakar gudang berkenaan.

Menurut Beh, kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Logeswaran boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Insp Muhammad Izzat Jamaluddin di talian 017-733 1772 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di 03-4048 2206.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan