BENCANA NEGARA

MANGSA BANJIR DI SABAH TERUS MENINGKAT PETANG INI

27/01/2023 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Seramai 12,582 mangsa banjir berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri dengan jumlah mangsa di Sabah terus mencatatkan peningkatan setakat 2 petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan petang ini memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 8,523 orang daripada 2,966 keluarga yang ditempatkan di 33 PPS di lima daerah, berbanding 6,843 orang daripada 2,412 keluarga pagi tadi.

Kota Marudu menjadi daerah paling terjejas dengan 6,150 mangsa banjir daripada 2,208 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS manakala 1,522 orang daripada 530 keluarga ditempatkan di lapan PPS di Pitas.

Seramai 718 orang daripada 199 keluarga pula dipindahkan ke 10 PPS di Paitan, 109 orang daripada 24 keluarga dipindahkan ke sebuah PPS di Tawau dan 24 orang daripada lima keluarga dipindahkan ke dua PPS di Telupid.

Di PAHANG, Sekretariat JPBN melaporkan mangsa banjir meningkat sedikit kepada 327 orang daripada 99 keluarga berbanding pagi tadi iaitu 323 orang daripada 97 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS di Rompin. 

Mangsa banjir paling ramai ialah di PPS Kampung Setajam iaitu 165 orang, PPS Balai Raya Kampung Rekoh (122) dan PPS Balai Raya Bukit Lepas (40). 

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir turun kepada 3,676 orang yang ditempatkan di PPS, di tujuh daerah setakat 2 petang ini, berbanding 4,868 orang pada 8 pagi tadi.  

JPBN memaklumkan 10 PPS telah ditutup termasuk masing-masing satu di Pontian, Mersing dan Muar, tiga di Kota Tinggi serta masing-masing dua di Segamat dan Kluang.

Mersing kekal daerah yang paling teruk terjejas banjir dengan 1,795 mangsa, diikuti Kluang (874), Kota Tinggi (486), Batu Pahat (363), Segamat (131), Muar (19) dan Tangkak (15).

Sebanyak lima sungai di negeri itu telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Muar di muara Sungai Gemas, Segamat dengan bacaan 19.08 meter (m); Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat (6.43 m); Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang (15.42 m); Sungai Endau, Mersing (2.83 m) dan Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar (3.35 m).

Di SARAWAK, JPBN memaklumkan dua PPS yang beroperasi di Lundu dan Sematan telah ditutup secara rasmi pada 1.49 tengah hari tadi.

Menurutnya PPS berkenaan; SK Sebat dan Balai Raya Kampung Sebat Dayak, diaktifkan pada Rabu susulan hujan lebat yang mengakibatkan banjir di beberapa kawasan termasuk Kampung Sebat Melayu.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan