BENCANA NEGARA

ALLIANZ MALAYSIA ANJUR LATIHAN KEMANDIRIAN BANJIR

02/12/2022 11:05 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Allianz Malaysia Berhad menganjurkan dua siri Latihan Kemandirian Banjir untuk rakyat Malaysia, anggota Allianz We Care Community dan kakitangannya, bagi memastikan mereka lebih bersedia menghadapi banjir tahun ini. 

Menurut Allianz Malaysia dalam kenyataan latihan itu dianjurkan menerusi cabang tanggungjawab sosial korporatnya Allianz4Good dengan kerjasama Malaysia International Search and Rescue (MISAR).

Menurut kenyataan itu Latihan Kemandirian Banjir 1.0 telah diadakan pada 4 Sept lepas untuk orang awam yang antara lain mengajar peserta mengenai cara menyelamatkan diri daripada kereta tenggelam, menyelamatkan haiwan peliharaan dan pengendalian orang kurang upaya (OKU) dalam kecemasan banjir.

Sementara itu, Latihan Kemandirian Banjir 2.0 berlangsung 30 Okt lepas untuk anggota Allianz We Care Community dan kakitangan syarikat itu yang mengetengahkan aktiviti seperti menyediakan beg kecemasan menyelamatkan diri dan pengkalisan air, penggunaan selimut hipotermia dan menghantar isyarat SOS semasa banjir.

 Ketua Allianz4Good Ng Siew Gek berkata latihan itu penting sebagai persediaan untuk orang awam menghadapi musim monsun memandangkan banjir kilat sering berlaku dan pada skala lebih besar, terutama di sekitar Lembah Klang dan Pantai Timur.

“Kami percaya membolehkan kesiapsiagaan bencana adalah penting dalam mengurangkan kehilangan nyawa dan kerosakan yang dialami komuniti terdedah kepada banjir serta masyarakat, susulan banjir kini berlaku secara lebih meluas di kawasan perumahan daripada sebelum ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Allianz Malaysia turut menyediakan bantuan kewangan untuk operasi bantuan banjir MISAR di Baling, Kedah awal Julai lepas. 

Allianz Malaysia turut membantu MISAR dalam operasi bantuan banjir di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Kelantan pada November dan Disember tahun lepas menerusi sumbangan serta aktiviti kesukarelawanan menyediakan pek bantuan mangsa banjir di Akademi MISAR.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan