BENCANA NEGARA

YAYASAN BANK RAKYAT AGIH RM2.5 JUTA BANTUAN PERSEKOLAHAN TAHUN INI

17/01/2022 06:27 PM

KUALA TERENGGANU, 17 Jan  -- Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta bagi program bantuan persekolahan untuk diagihkan kepada 25,000 pelajar di seluruh negara pada tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata buat permulaan, 150 pelajar di daerah Kuala Terengganu dipilih untuk menerima bantuan tersebut hari ini melibatkan peruntukan RM15,000.

"Bantuan ini adalah inisiatif YBR bagi meringankan beban kewangan ibu bapa terutamanya golongan isi rumah berpendapatan rendah B40 membuat persiapan kembali ke sekolah untuk anak mereka.

"Setiap pelajar menerima RM100 untuk memudahkan mereka membuat persiapan seperti membeli uniform, kasut atau beg sekolah mengikut keperluan masing-masing," katanya selepas mengagihkan bantuan tersebut di sini hari ini.

Sejak dimulakan pada 2019,  sejumlah 39,397 murid dan pelajar di seluruh negara telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.12 juta.

Megat Zulkarnain berkata bantuan tersebut akan diagihkan secara berperingkat sebelum sesi persekolahan 2022/2023 bermula pada Mac depan.

"YBR juga masih menerima permohonan daripada pemimpin setempat kerana dalam situasi ekonomi tidak menentu akibat pandemik COVID-19 dan banjir yang melanda negara baru-baru ini, semakin ramai memerlukan bantuan persekolahan ini.

"Setakat ini, kami menerima 4,000 permohonan tambahan. YBR akan berbincang dalam mesyuarat Lembaga Pengarah bagaimana untuk membantu mereka agar dapat menjalani sesi persekolahan penggal baharu dengan selesa dan lancar," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan