Sabtu, 30 Mei 2020
PERBICARAAN 1MDB
03/02/2020 04:21 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb -- Permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta firma barang kemas, Global Royalty Trading SAL untuk mendapatkan gambar dan membuat pemeriksaan fizikal terhadap harta-harta yang disita daripada premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd didengar 19 Feb ini.

Harta yang berjumlah RM680 juta itu berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas peguam yang mewakili Najib, Rosmah dan firma berkenaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka selaku pihak ketiga dalam permohonan pendakwaan untuk melucut hak harta yang disita dari premis milik Obyu Holdings, memfailkan permohonan itu tahun lepas.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin memohon kepada mahkamah untuk memberi masa kepada pihaknya bagi memfailkan afidavit balasan berhubung permohonan itu.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib manakala Rosmah diwakili peguam Iskandar Shah Ibrahim dan peguam P.Thilagam bertindak bagi pihak Global Royalty.

Peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Obyu Holdings memberitahu mahkamah bahawa pihaknya mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan pendakwaan dan mahkamah menetapkan tarikh sama (19 Feb) untuk pendengaran bantahan itu.

Kamarul Hisham berkata Tan Sri Bustari Yusof berhasrat untuk menjadi pihak ketiga dalam permohonan lucut hak itu dan Faten Hadni memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu.

Obyu Holdings dimiliki Bustari, adik bekas menteri kerja raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam notis usul yang difailkan terhadap Obyu Holdings, kerajaan antaranya menyita sebanyak 11,991 unit barang kemas, jam tangan 401 utas dan 16 unit aksesori jam tangan, cermin mata 234 unit dan 306 beg tangan serta wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 dalam pelbagai denominasi.

Sebahagian besar barangan mewah yang dirampas polis dilaporkan dari pangsapuri yang dimiliki oleh Obyu Holdings. 

Selain itu, sebuah hartanah di daerah Kuala Lumpur turut disita pada 1 Nov, 2018.

Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwaan selaku pemohon terhadap Obyu Holdings yang dinamakan sebagai responden mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya berkata  SPRM memfailkan permohonan tersebut terhadap 41 responden untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB yang SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun Najib.

-- BERNAMA

 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan